Polis buka kertas siasatan terhadap ADUN Bukit Batu

19

16 MEI: Polis sudah membuka kertas siasatan berhubung dakwaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Batu, Jimmy Puah Wee Tse kerana dikatakan melanggar prosedur operasi standard (SOP) dengan berkunjung ke rumah Ahli Jawatankuasa (AJK) PKR, di Johor baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintenden Mohd. Suhaimi Ishak, berkata pihaknya membuka kertas siasatan selepas menerima satu laporan dibuat seorang individu, semalam.

Mohd. Suhaimi  berkata, seorang pengadu berusia 38 tahun menyedari perkara itu ketika sedang melayari laman Facebook di Taman Maharani, Jalan Bakri, Muar pada pukul 3 petang.

“Ketika melayari Facebook, dia terlihat satu akaun telah memuat naik gambar seorang ADUN ziarah hari raya pertama di rumah beralamat Taman Desa Jaya, Ulu Tiram.

“Gambar tersebut jelas terlihat seorang Yang Berhormat dari sebuah parti politik sedang makan dan beraya bersama di rumah pemilik akaun Facebook berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, Mohd. Sohaimi berkata, polis akan menjalankan siasatan terhadap ADUN berkenaan yang dikenal pasti sebagai Jimmy Puah.

Mohd Sohaimi berkata polis juga sedang mengesan pemilik akaun Facebook berkenaan bagi membantu siasatan.

“Kes ini akan disiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Akta Pencegahan dan Kawalan Peraturan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di Kawasan Tempatan yang Dijangkiti) 2021,” ujarnya.

Terdahulu, media melaporkan satu laporan polis dibuat terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Batu, Jimmy Puah Wee Tse kerana dikatakan melanggar prosedur operasi standard (SOP) dengan berkunjung ke rumah Ahli Jawatankuasa (AJK) PKR, di Johor baru-baru ini.

Laporan polis itu dibuat oleh Ketua Cawangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Tanjung Selatan Ahmad Anwar Asyraf Ismail, hari ini, di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar, Johor.

Pengarah Operasi Pilihan Raya BERSATU Johor, Badrul Hisham Shaharin, berkata laporan polis berkenaan dibuat selepas pemilik akaun dikenali sebagai Sarah Iena memuat naik beberapa keping gambar suasana sambutan Hari Raya di rumahnya, pada 1 Syawal lalu.

“Jelas kelihatan YB Jimmy Puah Wee Tse, ADUN Bukit Batu makan di rumah pemilik akaun. Sangat jelas ADUN Jimmy Puah telah melanggar undang-undang secara sedar dan sengaja secara berkumpulan melakukan ziarah raya ke kediaman pemilik akaun.

“Di Terengganu ADUN Jabi didenda RM2,000 kerana jiran sebelah rumah datang ke rumahnya. Namun ini berbeza, kediaman Jimmy jauh dari rumah yang dia datang beraya secara berkumpulan,” katanya dalam satu hantaran menerusi laman Facebooknya hari ini.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.