Peningkatan kes COVID-19 di ICU makin membimbangkan

25

16 MEI: Biarpun bilangan kes baharu positif COVID-19 kini menurun menjadi 3,780 kes dan 36 kes kematian hari ini namun jumlah kes dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) semakin membimbangkan meningkat kepada 520 kes termasuk 272 memerlukan bantuan pernafasan.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata dengan pertambahan itu jumlah kumulatif kes COVID-19 di Malaysia kini mencecah 470,110 kes termasuk 90.7 peratus atau 426,319 kes sudah pulih dan 41,889 kes masih aktif.

Beliau berkata daripada 3,780 kes baharu berkenaan 3,778 adalah kes jangkitan tempatan dan dua kes import, manakala 35 daripada kes kematian hari ini membabitkan rakyat tempatan dan seorang warga asing.

“Terdapat 36 kes kematian pada hari ini yang melibatkan lapan kes di Selangor, enam kes di Pulau Pinang, masing-masing lima kes di Sarawak dan Kedah, empat kes di WP Kuala Lumpur, tiga kes di Perak, masing-masing dua kes di Negeri Sembilan dan Terengganu serta satu kes di Pahang.

“Selangor masih kekal merekodkan kes melebihi 1,000 kes positif baharu iatu 1,275 kes diikuti Sarawak (405), Kedah (363), Kelantan (357), Kuala Lumpur (342), Johor (224), Pulau Pinang (187), Pahang (159), Melaka (122), dan Perak (115).

“Hanya tiga negeri merekodkan kes dua angka iaitu Sabah (87), Negeri Sembilan (70) dan Terengganu (58) manakala Labuan (7); Putrajaya (7) serta Perlis (2),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata KKM mengesan 11 lagi kluster baharu COVID-19 hari ini sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan 1,887 kluster termasuk 1,417 kluster sudah tamat dan 470 masih aktif.

Sementara itu, Dr Noor Hisham juga menasihatkan orang ramai supaya tidak mengambil Ivermectin untuk tujuan tersebut berikutan tiada data klinikal bagi membuktikan keberkesanan penggunaannya dalam rawatan dan pencegahan COVID-19.

Beliau berkata Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) memaklumkan bahawa setakat ini tiada produk dengan bahan aktif Ivermectin berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) untuk kegunaan manusia.

“Untuk makluman, Food Drug Administration (FDA) belum pernah meluluskan indikasi Ivermectin bagi tujuan rawatan ataupun sebagai pencegahan COVID-19.

“Perkara ini telah dijelaskan oleh FDA dalam artikel yang bertajuk ‘Why You Should Not Use Ivermectin to Treat or Prevent COVID-19’ bertarikh 3 Mei 2021.

DR. NOOR HISHAM

“Selain itu, European Medicines Agency (EMA) juga mengambil pendekatan yang sama iaitu belum mencadangkan penggunaan Ivermectin sebagai rawatan COVID-19 susulan tiada data klinikal yang mencukupi bagi membuktikan keberkesanan produk tersebut dalam merawat atau mencegah COVID-19 sebagaimana kandungan artikel yang bertajuk ‘EMA Advises Against Use of Ivermectin for the Prevention or Treatment of COVID-19 Outside Randomised Clinical Trials’ pada 22 Mac 2021,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata setakat ini, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) hanya membenarkan Ivermectin sebagai rawatan COVID-19 dalam kajian/percubaan klinikal sahaja.

“Oleh itu, memandangkan penularan wabak COVID-19 semakin meningkat di Malaysia, KKM tiada halangan untuk penggunaan produk tidak berdaftar Ivermectin bagi tujuan percubaan klinikal sahaja di Malaysia.

“KKM sentiasa mengutamakan keselamatan dan kesejahteraan rakyat Malaysia dalam mengharungi pandemik COVID-19 dengan memberikan perhatian penuh kepada rawatan dan pencegahan COVID-19 yang diluluskan untuk kegunaan rakyat di negara ini. Pematuhan kepada Standard Operating Procedure (SOP) adalah langkah yang paling efektif pada masa ini untuk mengawal penularan wabak COVID-19 di Malaysia,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.