Malaysia sentiasa cari jalan bantu rakyat Palestin – Muhyiddin

39

16 MEI: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan, Malaysia akan sentiasa mencari jalan bagi menghulurkan bantuan sewajarnya untuk meringankan kesukaran rakyat Palestin.

Beliau berkata, selain kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) dan rakyat di negara ini giat dalam menganjurkan bantuan kemanusiaan serta bersolidariti penuh ke atas perjuangan rakyat Palestin.

Katanya, usaha dan perkara itu turut dimaklumkan kepada Ketua Biro Politik Hamas, Ismail Haniyya ketika beliau menerima panggilan telefon daripada pemimpin terbabit, semalam.

“Saya menzahirkan ucapan takziah dan dukacita bagi pihak seluruh rakyat Malaysia atas kehilangan nyawa serta kecederaan dialami rakyat Palestin akibat serangan ganas rejim Israel.

“Saya turut menegaskan pendirian dan usaha sudah serta sedang diambil Malaysia dalam memperjuangkan hak rakyat Palestin, tatkala menghadapi detik sukar ini,” katanya menerusi muat naik di Facebook rasminya, hari ini.

Muhyiddin berkata, ketika perbualan telefon itu, beliau terkesan mendengar perkhabaran dan perkembangan situasi semasa berhubung keadaan masyarakat Islam di Palestin, terutama Semenanjung Gaza yang amat menyedihkan serta menyayat hati.

“Beliau (Ismail Haniyya) sangat menghargai keprihatinan rakyat Malaysia terhadap penderitaan rakyat Palestin dan berterima kasih atas bantuan berterusan diberikan,” katanya.

Sehingga semalam, rejim Zionis terus menyerang rakyat Palestin dan memfokuskan kepada lebih 700 sasaran milik Hamas di Genting Gaza, termasuk bank pusat dan bangunan unit keselamatan gerakan terbabit.

Lebih 100 termasuk 27 kanak-kanak dan 11 wanita Palestin terkorban, manakala kira-kira 580 cedera sejak rejim Zionis kembali melancarkan kempen ketenteraan ke atas Genting Gaza sejak Operasi Penjaga Tembok dilancarkan pada Isnin lalu. – Oleh FAIZATUL FARHANA FARUSH KHAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.