KM Sarawak akan menghadap Agong berhubung pembubaran DUN

26

16 MEI: Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg akan menghadap Yang di-Pertuan Agong berhubung pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN).

Setiausaha Agung Gabungan Parti Sarawak (GPS), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, bagaimanapun tarikhnya akan ditentukan atas budi bicara Yang di-Pertuan Agong kerana negara di bawah darurat sehingga 1 Ogos ini.

Di bawah Perlembagaan Sarawak, katanya, tempoh tamat DUN ialah pada 6 Jun ini, lima tahun selepas tarikh sidang yang pertama pada 7 Jun 2016.

“Dalam norma biasa, sepatutnya dibubar untuk mengembalikan mandat serta hak demokrasi rakyat memilih kerajaan melalui pilihan raya.

“Tetapi negara di bawah darurat kesihatan sehingga 1 Ogos,” katanya dalam satu kenyataan yang disiarkan di Facebook GPS hari ini.

Nanta berkata, peruntukan perlembagaan negeri berkenaan tidak terpakai disebabkan Ordinan Darurat 2021.

“Pembubaran DUN akan diputuskan Yang di-Pertuan Agong dari tarikh yang difikirkan sesuai selepas mengadakan perbincangan dengan Yang di-Pertua Negeri,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.