Aid4Palestine: Jangan telunjuk lurus kelingking berkait

251

16 MEI: Ketika rata-rata penduduk Malaysia menyatakan simpati dan bersedia membantu perjuangan Palestin yang terus ditindas tentera Israel, tentu pelik apabila ada pula yang mempertikai penubuhan #Aid4Palestine.

Tentu sesuatu yang tidak masuk akal apabila pihak tertentu mempersoal sekretariat #Aid4Palestine semata-mata kerana dipengerusikan Muhammad Khalil Abdul Hadi.

Ini kerana beliau adalah anak kepada Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang juga Presiden PAS dan individu yang bertanggungjawab menubuh #Aid4Palestine.

Pihak yang mempertikai pemilihan Muhammad Khalil patut jelas bahawa sekretariat #Aid4Palestine ditubuhkan dengan kerjasama lebih 40 Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) bagi mengambil tindakan proaktif dan segera membantu perjuangan Palestin adalah kerja sukarela.

Sekretariat itu akan menjalankan kempen kesedaran dan penyelerasan kutipan dana yang akan dilakukan melalui kaedah ‘crowfunding.

Hadi ketika mengumumkan penubuhan #Aid4Palestine menjelaskan sekretariat ini akan berfungsi sebagai koordinator jaringan NGO dan masyarakat sivil bagi menggerakkan kempen kesedaran rakyat Malaysia terhadap perjuangan Palestin.

“Ia juga akan menyelaras kutipan dana #Aid4Palestine melalui kaedah ‘crowdfunding’ dengan sasaran bantuan RM 1juta yang akan disalurkan terus ke bumi Palestin,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Penduduk Palestin kini memerlukan bantuan antarabangsa dalam mendepani kekejaman Israel

Adalah tidak wajar bagi pihak yang mempertikai pelantikan Muhammad Khalil kerana tiada peraturan melarang Abdul Hadi melantik anak beliau sebagai pengerusi atau ketua secretariat tersebut.

Seorang pemimpin Bersatu Johor, Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad ketika ditanya mengenai pelatikan tersebut menjelaskan, ini adalah tugas sukarela tanpa gaji atau sebarang elaun dan sesiapa sahaja boleh menyumbang khidmat.

“Setakat jadi sekretariat dan menjalankan tugas-tugas serta polisi yang ditetapkan oleh jawatankuasa yang kebetulan ada pertalian darah dengan pengerusi, ia tidak menjadi hal kerana ianya pengerusi bukan eksekutif,”

“…bermakna mereka tidak ada kuasa seperti syarikat di bawah Akta Syarikat. Ini hanya NGO yang tertakluk kepada Pendaftar Pertubuhan (RoS),” katanya.

Ahli Parlimen Mersing itu berpendapat, keputusan Abdul Hadi melantik anaknya tidak bercanggah dengan semangat atau Akta RoS.

Apatah lagi katanya sekretariat itu bertujuan mencari dan mengumpul dana  untuk membantu perjuangan rakyat Palestin dengan cara memberikan infaq dan sumbangan.

Difahamkan, bagi fasa pertama yang akan disalurkan menjelang 10 Syawal, hampir RM350,000  berjaya dikumpul daripada NGO PASRelief, Yayasan Amal Malaysia, Muslim Care Malaysia Society dan Cakna Palestin Malaysia.

Abdul Hadi sebelum ini berkata, kutipan fasa kedua dengan minima RM650,000 akan dibuka sehingga 30 Syawal.

Dalam pada itu Muhammad Khalil meminta semua pihak berhenti mempolitikan pelantikannya jawatan berkenaan semua kerja dilakukan tidak membabitkan sebarang bayaran elaun atau gaji.

“Kita kena bezakan antara jawatan dalam kerajaan dengan jawatan dalam badan sukarelawan. Saya terima jawatan ini demi membantu rakyat Palestin secara sukarela bukan kerana bayaran atau imbuhan tertentu.

“Tambahan pula, Malaysia adalah sebuah negara yang menjunjung tinggi keluhuran undang-undang.

“Jika ada pihak mempunyai sebarang bukti kukuh menunjukkan saya menyeleweng dana berkenaan untuk membantu masyarakat Palestin ini, maka silalah buat laporan rasmi kepada pihak berkuasa supaya mereka boleh menjalankan siasatan terperinci dengan adil,” katanya seperti dilapor PNBBC Portal.

Kesimpulannya, pihak yang sengaja membangkitkan isu Abdul Hadi melantik anaknya kena jujur dalam menyokong perjuangan dan membantu rakyat Palestin bukan bersikap telunjuk lurus kelingking berkait dengan mempertikai pelantikan tersebut sedangkan kewujudan sekretariat itu bertujuan baik.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.