Perbualan Whatsapp arah jemput DAP dalam program UMNO palsu

38

15 MEI: Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad mengesahkan tiada sebarang arahan daripada Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang meminta supaya pimpinan UMNO untuk turut menjemput wakil DAP dalam setiap program anjuran parti itu. 

Noraini berkata, dakwaan tersebut merupakan dakwaan tidak berasas dan  fitnah semata-mata daripada pihak tidak bertanggungjawab yang hanya cuba untuk memecah belahkan perpaduan di dalam UMNO.

“Ini semua fitnah. Saya tidak mengetahui kewujudan Whatsapp group tersebut. Jika betul ada, ia bukan Whatsapp group rasmi MT UMNO. Mungkin sengaja dibuat untuk fitnah parti,” katanya.

Terdahulu, tular di media sosial sejak semalam kononnya wujud perbualan WhatsApp yang didakwa daripada kumpulan Majlis Tertinggi UMNO menerima arahan Ahmad Zahid agar menjemput wakil DAP dalam setiap program dianjurkan UMNO. 

Perbualan itu merujuk kepada tindakan Noraini menjemput Ahli Parlimen Bangi daripada DAP, Ong Kian Ming dalam satu program lawatannya pada Rabu lalu.

Justeru, Noraini menjelaskan beliau bertembung dengan Kian Ming ketika mengadakan lawatan ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di mana ahli Parlimen DAP itu turut berada di situ.

“Saya ke PPV di UKM untuk berjumpa dengan sukarelawan MyVac yang tidak pulang ke kampung halaman untuk sambut Aidilfitri. Di situ saya terserempak dengan Ong.

“Sebelum beredar, Ong tanya hendak ke mana dan saya jawab hendak pergi ziarah pelajar UKM yang sakit dekat Sungai Merab.

“Kemudian dia kata hendak ikut sebab itu bawah Parlimen dia. Itu sahaja. Sebab itu saya kata arahan kononnya daripada presiden UMNO itu fitnah,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan berharap ahli-ahli parti itu dan rakyat tidak terkeliru kononnya ada group Majlis Kerja Tinggi UMNO yang membincangkan “arahan” Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk pemimpin parti merancakkan program bersama DAP.

Beliau berkata, tangkap layar itu adalah rekaan semata-mata kerana UMNO masih berpegang teguh dengan keputusna Perhimpunan Agung UMNO 2020 dan Majlis Kerja Tertinggi yang tidak akan bersama-sama DAP.

”Ini merupakan rekaan semata-mata seperti mana disahkan oleh Presiden dan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang namanya dipetik menulis dalam group itu. Datuk Seri Najib bukan ahli MKT, maka tidak akan berada dalam apa-apa “group WhatsApp MKT”.

“Jika kita buka group WhatsApp kita, nama ahli group yang terpampang di atas akan mengikut urutan abjad yang di’save’ dalam telefon. Agak janggal jika dalam suatu “group MKT”, dua nama pertama yang terpampang ialah Datuk Seri Khaled dan Datuk Seri Najib,”katanya menerusi kenyataan hari ini. 

Tambah beliau, jika semua ahli group di’save’ sebagai “Dato’ Seri”, ramai lagi ahli MKT yang nama mereka bermula sebelum huruf K dan N.

“Semuanya menampakkan suatu usaha untuk melakar imej negatif kepada kepimpinan parti. Harap ahli dan rakyat tidak terkeliru. Keputusan PAU 2020 dan MKT kekal terpakai ke saat ini,” katanya. 

Get real time updates directly on you device, subscribe now.