Malaysia Kesal PBB ‘Kunci Mulut’ Isu Konflik Palestin-Israel

56

15 MEI: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kesal dan berdukacita dengan ketidakmampuan masyarakat antarabangsa terutamanya Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk menghentikan serta-merta keganasan rejim Israel keatas Palestin. 

Sehingga kini, Muhyiddin menegaskan Majlis Keselamatan PBB belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung situasi terkini di Palestin lantaran bangkangan daripada Amerika Syarikat. 

Walaupun begitu, Perdana Menteri berkata Malaysia akan terus berusaha untuk menyeru komuniti antarabangsa, terutamanya Majlis Keselamatan PBB, untuk bertindak segera bagi memaksa Israel menghentikan serangan terhadap rakyat Palestin.

“Saya ingin mengulangi pendirian berprinsip kerajaan Malaysia yang sentiasa konsisten memberi sokongan padu kepada Palestin dan perjuangan rakyatnya samada dari segi politik, ekonomi, dan moral.

“Penyelesaian terbaik kepada konflik Palestin-Israel hanya boleh dicapai melalui rundingan bagi memastikan keamanan, keselamatan dan kestabilan serantau yang berkekalan.

“Malaysia menyokong penyelesaian yang adil dan saksama melalui Penyelesaian Dua Negara atau Two-State Solution berdasarkan garis sempadan sebelum tahun 1967, dengan Baitulmaqdis sebagai ibu negara Palestin sebagai satu-satunya jalan penyelesaian terhadap konflik Palestin-Israel.

“Malaysia akan terus menyokong segala usaha demi mencapai penyelesaian yang adil dan berkekalan, khususnya menerusi rundingan melibatkan pihak-pihak yang berkaitan, berdasarkan kepada undang-undang antarabangsa serta resolusi-resolusi PBB yang berkaitan,” katanya menerusi perutusan khas konflik Palestin-Isreal, hari ini.

Perdana Menteri juga turut memaklumkan, Malaysia akan menerajui bersama-sama negara Indonesia dan Brunei bagi mengeluarkan kenyataan bersama mengutuk sekeras-kerasnya serangan zalim rejim Israel ke atas Palestin.

“Pada hari ini, saya telah mengadakan perbincangan melalui telefon dengan Presiden Indonesia, Joko Widodo berhubung situasi terkini di Palestin.  Dalam perbincangan tersebut, Presiden Joko Widodo dan saya bersetuju bahawa tindakan ganas rejim Israel harus dihentikan serta merta. 

“Kami juga berkongsi pandangan yang sama supaya komuniti antarabangsa, terutamanya Majlis Keselamatan PBB untuk bertindak segera bagi menghentikan keganasan rejim Israel dan menyelamatkan nyawa rakyat Palestin.

“Kita mesti bersepakat menjelaskan kepada seluruh dunia akan pendirian Malaysia terhadap tindakan tidak berperikemanusiaan rejim Israel ke atas rakyat Palestin,” katanya.

Dalam pada itu, Muhyiddin memaklumkan serangan Israel ke atas Palestin merupakan tindakan yang mencabuli undang-undang antarabangsa, undang-undang hak asasi manusia, undang-undang kemanusiaan antarabangsa, Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta merupakan jenayah perang yang menyalahi Konvensyen Keempat Geneva 1949.

Beliau yang juga merupakan Ahli Parlimen Pagoh memberitahu serangan yang zalim dan sangat keterlaluan ini amat meresahkan umat Islam, apatah lagi ianya berlaku di bulan suci Ramadhan yang mulia dan berlanjutan hingga bulan Syawal, taktala umat Islam di seluruh dunia sedang menyambut Hari Raya Aidilfiri.

“Sesungguhnya, perbuatan keji lagi terkutuk tentera Israel, khususnya pengeboman, pembedilan dan pemusnahan harta benda, tanpa sebarang timbang rasa dan belas kasihan, yang sedang dilakukan ke atas rakyat Palestin mesti dikecam sekeras-kerasnya oleh seluruh dunia. 

“Serangan Israel ke atas Palestin merupakan tindakan yang mencabuli undang-undang antarabangsa, undang-undang hak asasi manusia, undang-undang kemanusiaan antarabangsa, Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta merupakan jenayah perang yang menyalahi Konvensyen Keempat Geneva 1949,”katanya.

Sementara itu, Perdana Menteri berkata, melalui Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin (AAKRP) seliaan Kementerian Luar Negeri, Malaysia telah meyumbang sebanyak USD10,000 kepada Masjid Al-Aqsa pada tahun lalu yang telah disalurkan kepada Kementerian Awqaf, Jordan.

Selain itu, menurut Muhyiddin,bagi membantu Palestin membendung wabak pandemik COVID-19, Malaysia turut menghulurkan bantuan kepada Palestin dalam bentuk barangan perubatan, iaitu 1 juta pelitup muka, 500 ribu pelindung muka  dan 500 ribu sarung tangan getah.

Sumbangan tersebut telah dihantar menerusi pesawat sewaan khas ke Amman, Jordan pada 10 Mei 2020. 

“Bagi tahun 2020, Malaysia telah menyumbang sebanyak USD120,000 kepada United Nations Relief and Works Agency in the Near East (UNRWA) bagi menampung kos operasi dan programnya bagi tahun 2020.

“Malaysia telah memberikan sokongan yang padu serta sumbangan kepada UNRWA secara konsisten sejak tahun 1978. Sejak tahun 2015, Malaysia telah menyumbang sebanyak USD600,000 kepada UNRWA,” katanya.-Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.