Lebih 8 juta individu sudah jalani saringan COVID-19

16

15 MEI: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan sebanyak 8,573,873 ujian saringan COVID-19 telah dijalankan sejak 1 Januari 2021 sehingga 13 Mei lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham berkata ini merangkumi sebanyak 4,747,837 ujian real-time Reverse-Transcription Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) dan 3,826,036 ujian Rapid Test Kit-Antigen (RTK-Ag) termasuk saringan PERKESO dan bukan PERKESO.

Beliau berkata purata jumlah ujian saringan yang telah dijalankan secara mingguan adalah sebanyak 63,925 sampel (dari Minggu Epid (ME) ke-15 hingga ME ke-18), manakala jumlah ujian dari ME ke-11 hingga ME ke-14 adalah sebanyak 483,518 sampel.

Katanya, KKM juga mengesahkan terdapat peningkatan jumlah saringan yang telah dijalankan berbanding bulan sebelumnya iaitu sebanyak 369,456 sampel (23.6 peratus).

“Sehingga kini, pelbagai langkah kesiapsagaan berikutan pertambahan bilangan kes COVID-19 di Malaysia telah dilaksanakan. Ini termasuklah menambah kapasiti makmal yang boleh menjalankan ujian diagnostik RT-PCR dan penyumberluaran ujian saringan COVID-19 ke makmal swasta.

“KKM juga meningkatkan penggunaan ujian RTK-Ag sebagai ujian saringan COVID-19 bagi mengesan wabak COVID-19 dengan cepat dalam jumlah yang besar; dan pengujian saringan menggunakan air liur yang lebih mudah dan cepat serta boleh dilaksanakan oleh semua lapisan masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu Dr Noor Hisham berkata masyarakat diingatkan untuk terus mengamalkan SOP yang telah digariskan khususnya sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.

“KKM ingin mengingatkan individu yang bergejala dan dari kawasan berisiko tinggi, dinasihatkan membuat pemeriksaan di fasiliti kesihatan berhampiran.

“Bagi mereka yang telah menjalani ujian pengesanan COVID-19, apabila telah menerima keputusan, mereka boleh memaklumkan kepada KKM melalui aplikasi MySejahtera iaitu “self-notification”. Individu yang telah diambil sampel perlu menjalankan pengasingan kendiri sehingga keputusan ujian saringan didapati negatif.

“Semua makmal yang menjalankan ujian SARS-CoV-2 samada makmal kerajaan atau swasta dikehendaki memasukkan data keputusan ujian sampel (samada negatif ataupun positif) ke dalam sistem SIMKA.

“Setiap pemohon (PKD atau Klinik Kesihatan) akan mengakses keputusan makmal ini secara atas talian. Keputusan dari makmal swasta juga akan dimaklumkan dengan segera kepada KKM melalui saluran sedia ada,” katanya.

Beliau berkata tempoh masa PKP ini merupakan suatu tempoh yang sangat genting bagi rakyat Malaysia untuk bersama-sama melandaikan keluk jangkitan COVID-19 di negara ini.

“Peningkatan kapasiti hospital dan kemunculan varian-varian baharu dalam komuniti memerlukan tindakan kesihatan awam yang efektif serta kerjasama semua lapisan masyarakat bagi memastikan usaha yang telah kita laksanakan selama ini membuahkan hasil,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.