Empat pelajar  baling mercun ke arah anggota polis direman

55

15 MEI: Polis menahan reman empat pelajar sekolah selama tiga hari mulai hari ini kerana dipercayai terbabit dalam kejadian melontar mercun ke arah anggota polis di Pangsapuri Sri Perak, Bandar Baru Sentul, di sini, pada Hari Raya Aidilfitri, Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai, berkata empat suspek berusia antara 14 hingga 16 tahun itu ditahan dalam serbuan dilakukan di pangsapuri berkenaan bermula jam 10 malam hingga 3 pagi tadi.

Beliau berkata hasil soal siasat dilakukan terhadap keempat-empat suspek berkenaan mengaku mereka terbabit dalam kejadian itu dengan ada di antaranya menyalakan dan membaling mercun bola ke arah anggota polis.

“Mereka (suspek) mengaku berbuat demikian kerana tidak berpuas hati dengan tindakan polis menghentikan ‘keseronokan’ mereka bermain mercun di kawasan berkenaan

“Kami perlu mengambil tindakan tegas dalam isu terbabit kerana kejadian seumpama ini boleh mendatangkan kecederaan kepada orang ramai atau kebakaran jika tidak ditangani.

“Justeru, orang ramai dinasihatkan tidak melakukan aktiviti membakar mercun kerana ia perbuatan dilarang,” katanya ketika ditemui pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, hari ini.

Terdahulu, media melaporkan polis menahan empat individu berusia antara 12 hingga 58 tahun yang dipercayai terbabit dengan kejadian melontar mercun ke arah polis pada Khamis lalu.

Sementara itu, Eng Lai berkata, pihaknya masih belum mengenal pasti identiti mayat wanita ditemui terapung dalam keadaan bogel di Sungai Batu 3, Jalan Ipoh, di sini, semalam.

“Bagaimanapun, kami ada menerima laporan berkaitan orang hilang membabitkan seorang wanita berusia 30 tahun di Balai Polis Kepong pada 11 Mei lalu.

“Berdasarkan keadaan fizikal mayat berkenaan, kami mendapati terdapat sedikit persamaan mangsa dengan individu hilang terbabit, namun masih menunggu pengesahan identiti mangsa menerusi cap jari daripada pihak Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

“Pada masa sama, proses bedah siasat terhadap mayat mangsa masih berjalan di Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN). Setakat ini, kes masih diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.