TV2 guna istilah ‘militan’ rujuk Hamas disiasat

28

14 MEI: Kementerian Komunikasin dan Multimedia (KKMM) sudah mengarahkan siasatan terperinci dan tindakan susulan segera dilakukan berhubung penggunaan istilah ‘militan’ dalam pelaporan berita berbahasa Mandarin TV2, RTM bagi merujuk kumpulan Hamas, kelmarin.

Menteri KKMM, Datuk Saifuddin Abdullah, berkata Pengarang Meja Mandarin dan Ketua Pengarang Berita Mandarin yang terbabit sudah dipanggil memberikan penjelasan dan laporan lengkap.

Katanya, pegawai terbabit turut dikenakan surat tunjuk sebab (STS) dan siasatan lanjut sedang dilaksanakan pihak pengurusan.

“Saya sudah segera mengarahkan siasatan dan tindakan lanjut diambil pihak pengurusan Jabatan Penyiaran Malaysia, RTM susulan penularan perkongsian di laman sosial berhubung istilah yang merujuk kumpulan Hamas dalam pelaporan berita berbahasa Mandarin ini.

Permohonan maaf secara terbuka menerusi siaran berita untuk pembetulan sudah disiarkan dalam Berita Tengah Hari pada jam 1.00 tengah hari dan Berita Mandarin pada jam 7.00 malam, kelmarin.

“Seksyen Berita Hal Ehwal Semasa diminta mengkaji semula prosedur operasi standard (SOP) tugasan Bilik Berita, khususnya dalam penyuntingan dan penerbitan berita TV bagi memastikan kesilapan serupa tidak berulang,” katanya menerusi kenyataan KKMM, semalam.

Saifuddin berkata, RTM peka berhubung situasi sedang berlaku dan sentiasa teguh menyokong pendirian Malaysia serta aspirasi rakyat mengenai konflik melanda, malah mendukung kedaulatan dan kebebasan Palestin.

“RTM akan terus berusaha dalam menambah baik kualiti penyampaian berita dari semasa ke semasa,” katanya.

Semalam, tular di media sosial mengenai laporan berita di siaran televisyen berbahasa Mandarin yang menggunakan istilah militan sebagai merujuk kepada kumpulan pejuang Palestin, iaitu Hamas berkaitan Serangan Udara Israel terhadap Palestin pada 12 Mei lalu. Oleh FAIZATUL FARHANA FARUSH KHAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.