PKPD di lokaliti Alor Gajah dan Tawau

84

14 MEI: Peningkatan ketara kes COVID-19 dalam tempoh dua minggu di Kampung Lubok Redan, Alor Gajah, Melaka menyebabkan lokaliti itu dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) selama 14 hari, bermula lusa.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan dalam tempoh terbabit, sebanyak 56 kes positif direkodkan di situ.

“Selepas membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP, kerajaan bersetuju untuk melaksanakan PKPD di Kampung Lubok Redan, Alor Gajah, Melaka bermula dari 16 Mei sehingga 29 Mei 2021.

“PKPD ini bagi memudahkan KKM melaksanakan saringan secara bersasar ke atas semua yang terbabit dan seterusnya mengekang penularan jangkitan COVID-19 ke komuniti luar,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi kenyataan berhubung Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), hari ini.

Ismail Sabri berkata, PKPD turut dilaksanakan di Lorong 2 Kampung Kongsi 8, Tawau, Sabah selama dua minggu, bermula lusa.

Katanya, KKM hari ini melaporkan peningkatan kes COVID-19 secara mendadak di Lorong 2 Kampung Kongsi 8, Tawau, Sabah dan sehingga kini, sebanyak 15 kes positif direkodkan daripada 56 ujian saringan dijalankan di lokaliti terbabit serta kadar positiviti adalah 26.79 peratus.

“Selepas membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP, kerajaan bersetuju untuk melaksanakan PKPD di Lorong 2 Kampung Kongsi 8, Tawau, Sabah bermula dari 16 Mei sehingga 29 Mei 2021 

“PKPD ini bagi memudahkan KKM menjalan pengesanan awal (ACD) kes positif supaya dapat diasingkan secepat mungkin dan mengekang penularan jangkitan COVID-19 ke komuniti lain,” katanya.

Selain itu, Ismail Sabri berkata, PKPD di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Madai, Kunak, Sabah yang dijadualkan tamat hari ini, dilanjutkan selama 14 hari.

Jelasnya, pelaksanaan itu adalah kerana selepas 895 ujian saringan dijalankan KKM, sebanyak 42 kes positif direkodkan.

“Malah, KKM melaporkan berlaku penularan berterusan dalam kalangan penduduk di kawasan PKPD dan sebanyak 51 baki sampel saringan sedang menunggu keputusan. 

“Selepas membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju melanjutkan PKPD di SMK Madai, Kunak, Sabah bermula 15 Mei sehingga 28 Mei 2021,” katanya.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, PKPD di Kampung Bergosong, Tawau, Sabah akan ditamatkan esok, seperti dijadualkan. 

Penamatan itu dilakukan, katanya, selepas KKM melaksanakan 499 ujian saringan dan daripada jumlah itu, sebanyak 28 kes positif direkodkan. 

Baki kes aktif di lokaliti terbabit juga, katanya, disahkan KKM menunjukkan trend penurunan dan kesemua kes positif menerima rawatan serta kontak rapat diasingkan. 

“Selepas membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju untuk menamatkan PKPD di Kampung Bergosong, Tawau, Sabah pada 15 Mei 2021 seperti dijadualkan,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Ismail Sabri berkata, seramai 292 individu ditahan atas kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP), semalam dan daripada jumlah itu, 278 individu dikompaun, manakala 14 direman.

“Kesalahan paling tinggi direkodkan adalah gagal merekod butiran diri dan daftar masuk premis, iaitu 75 individu.

“Tiada penjarakan fizikal mencatatkan 62 kes, diikuti tidak memakai pelitup muka (45) da lain-lain (110),” katanya. Oleh FAIZATUL FARHANA FARUSH KHAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.