Suami Pengasuh Didakwa Liwat, Bunuh Bayi Sembilan Bulan

56

12 MEI: Seorang penganggur didakwa di Mahkamah Majistret Petaling Jaya, hari ini atas pertuduhan membunuh dan meliwat anak asuhan isterinya yang berusia sembilan bulan di sebuah pangsapuri di Petaling Jaya, tiga minggu lalu.

Tertuduh, Mohamed Badruldin Mohamed, 36, yang memakai baju T, mengangguk faham selepas pertuduhan bunuh dibaca di hadapan Majistret Muhammad Iskandar Zainol.

Tiada pengakuan direkodkan kerana kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa membunuh bayi lelaki berusia sembilan bulan di sebuah rumah di Projek Perumahan Rakyat Lembah Subang di sini antara jam 8 pagi dan 3.30 petang, 27 April lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Mahkamah tidak menawarkan ikat jamin kerana kes bunuh termasuk dalam kesalahan yang tidak boleh dijamin.

Sementara bagi pertuduhan melakukan persetubuhan luar tabii terhadap mangsa, tertuduh mengaku tidak bersalah atas pertuduhan itu yang dilakukan di lokasi, waktu dan tarikh sama.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen Seksyen 377C Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan maksimum 20 tahun jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan 15 Jun depan untuk sebutan semula kes dan laporan kimia.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Alison Chan May Kam, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, PN BBC melaporkan, seorang bayi lelaki berusia sembilan bulan diliwat dan dibunuh oleh suami pengasuhnya pada 27 April lalu.

Ketika kejadian, mangsa dikatakan berada dalam bilik tidur bersama suspek, manakala isteri suspek sedang menyapu di luar kediaman mereka.

Ketua Polis Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, bayi berkenaan dihantar sendiri oleh suspek ke Hospital Sungai Buloh dalam keadaan tidak sedarkan diri.

Menurut beliau, hasil bedah siasat mendapati terdapat lebam pada mulut bayi dipercayai kesan ditekup sehingga mangsa meninggal dunia dan bayi tersebut turut mengalami kesan koyak pada duburnya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.