Solat sunat Aidilfitri 3 sesi di Pulau Pinang

18

12 MEI: Berita baik kepada umat Islam di Pulau Pinang apabila solat sunat Aidilfitri di negeri itu esok akan dilakukan sebanyak tiga sesi secara penggiliran.

Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) menyatakan umat Islam di negeri itu perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Jurucakap JHEAIPP berkata keputusan itu dibuat selepas mengambil kira pandangan beberapa pihak, termasuk Mufti Pulau Pinang dan perlu mengikut garis panduan terkini yang ditetapkan hari ini.

Beliau berkata sesi pertama solat sunat Aidilfitri pada jam 8.30 hingga 9.15 pagi, diikuti 9.45 hingga 10.30 pagi (sesi kedua) dan 11.30 hingga 11.45 pagi (sesi ketiga).

Berikutan itu, imam yang ditentukan pihak masjid dan surau perlu berlainan bagi setiap sesi.

“Selang tempoh setiap 30 minit setiap sesi adalah untuk proses sanitasi dan persediaan jemaah masuk ke saf untuk sesi solat sunat seterusnya.

“Penggiliran sesi solat sunat ini menjadi alternatif kepada masjid dan surau mengikut syarat yang dipatuhi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, tempoh solat setiap sesi adalah 45 minit dan sebarang perhimpunan tidak dibenarkan sebelum dan selepas setiap sesi.

“Selepas selesai solat, jemaah perlu segera pulang tanpa ada perhimpunan di dalam dan luar kawasan masjid atau surau,” katanya.

Menerusi garis panduan dikeluarkan JHEAIPP yang berkuat kuasa hari ini, seramai 50 jemaah di masjid dan 20 jemaah di surau dibenarkan melakukan solat fardu dan solat Jumaat.

Jemaah yang dibolehkan hadir adalah terdiri golongan lelaki berusia 15 hingga 70 tahun serta berstatus warganegara atau penduduk tetap.

Jemaah perlu sentiasa memakai pelitup muka ketika berada di masjid atau surau dan membawa sejadah bersaiz besar, manakala jamuan selepas solat sunat Aidilfitri tidak dibenarkan, namun membenarkan pemberian bungkusan makanan.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.