Penggambaran Filem, Drama Di Dalam Studio Dibenarkan

15

12 MEI: Aktiviti penggambaran filem, drama, dokumentari, animasi, produksi muzik dan seumpamanya bagi rakaman dalaman (studio) adalah dibenarkan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara yang berkuat kuasa mulai hari ini hingga 7 Jun.

Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) memaklumkan, aktiviti itu dibenarkan dengan jumlah kru yang minimum tanpa penonton, selain perlu membuat permohonan Sijil Perakuan Penggambaran Filem Khas (SPP Khas). 

Finas berkata, kebenaran itu juga tertakluk kepada pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Industri Kreatif yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Walau bagaimanapun, menurut beliau, operasi pawagam tersenarai sebagai aktiviti yang tidak dibenarkan dalam tempoh pelaksanaan PKP.

“Aktiviti pawagam pandu masuk dibenarkan dengan syarat, perlu mematuhi SOP yang ditetapkan MKN serta semua garis panduan. 

“Ia meliputi protokol pencegahan penyakit dan sekatan, saringan kesihatan, pembersihan dan nyah kuman premis, penjarakan fizikal dan tatacara keselamatan pekerja serta tindak balas kecemasan,” katanya menerusi kenyataan, hari ini. 

Menerusi kenyataan sama, Finas memaklumkan perincian lanjut mengenai SOP dan garis panduan tersebut boleh didapati menerusi laman web MKN di www.mkn.gov.my

Terdahulu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin Isnin lalu mengumumkan pelaksanaan PKP 3.0 mulai hari ini hingga 7 Jun depan demi memastikan Malaysia tidak terjerumus ke dalam malapetaka lebih besar.

Muhyiddin berkata, pelaksanaan PKP 3.0 berkenaan dibuat sebagai langkah-langkah yang lebih tegas dan ketat bagi mengekang penularan wabak COVID-19 dalam masyarakat dan menghalang kenaikan kes secara mendadak.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.