Kes baharu kembali cecah angka 4,000 hari pertama PKP 3.0

17

7 MEI : Hari pertama pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 menyaksikan negara melepasi angka 4,000 kes kali ketiga dengan Selangor mencatatkan jangkitan tertinggi.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata daripada 4,765 kes yang direkodkan hari ini, hanya tujuh membabitkan kes import.

Menurut beliau, dengan pertambahan kes baharu itu, Malaysia kini mencatatkan 453, 222 kes positif COVID-19, manakala jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 pula adalah 40,101 kes.

“Terdapat 39 kes kematian pada hari ini yang melibatkan 10 kes di Johor, lapan kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, lima  kes di Selangor, tiga kes di Sabah, masing-masing dua kes di Kedah, Sarawak, Kelantan, dan Pahang, serta masing-masing satu kes di Perak, Melaka, Negeri Sembilan, Terengganu, dan Wilayah Persekutuan Putrajaya.

“Kes sembuh baharu dilaporkan sebanyak 3,124 menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh akibat pandemik itu melonjak kepada 411, 360 atau 90. 76 peratus daripada keseluruhan kes. Bagi kes yang berada di unit rawatan rapi (ICU) ketika ini pula adalah seramai 469 orang termasuk dan 244 yang memerlukan bantuan pernafasan, “katanya menerusi kenyataan media perkembangan harian COVID-19, hari ini.

Dalam pada itu, Noor Hisham memberitahu KKM berjaya mengesan 14 kes tempatan COVID-19 baharu yang dijangkiti oleh varian South African B.1.351.

“Kes-kes ini telah dikesan di negeri Kelantan, Kedah, Selangor, dan Negeri Sembilan; serta satu kes import bukan warganegara yang dijangkiti varian Indian B.1.617.2 yang telah menyebabkan dirinya meninggal dunia.

“Sehingga kini, jumlah keseluruhan kes COVID-19 yang dijangkiti varian South African B.1.351 adalah sebanyak 62 kes dan varian Indian B.1.617 sebanyak dua kes iaitu masing-masing satu kes sublineage B.1.617.1 dan B.1.617.2,”katanya.

Sementara itu, mengulas lanjut berkenaan perkembangan kluster, Noor Hisham memberitahu terdapat 20 kluster baharu yang telah dikenal pasti pada hari ini dan lima daripadanya adalah di Selangor iaitu Jumlah Disaring, Tapak Bina Persiaran Tanjung, Persimpangan Batu Arang, Tapak Bina Bukit Semenyih 2, Industri Jalan Emas dan Persiaran Masjid Lima.

“Tiga adalah di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur iaitu Kluster Persiaran Satu, Tapak Bina Batu Lima, Jalan Segambut Pusat manakala di Johor mempunyai empat kluster baharu iaitu di Jalan Tembaga Industri, Jalan Gangsa Industri, Kahang Timur dan Jalan Muafakat.

“Sementara itu, di Sabah hanya dua kluster  iaitu di Kebagu dan Tanjung Lapor serta selebihnya adalah di 18 Lorong Taman Ipoh Dua, Perak; Jalan Terbilang, Pulau Pinang; Telipot, Kelantan; Nanga Skrang, Sarawak; Skim Penempatan Stapok Komuniti Sarawak, Kuching dan Kampung Tok Sangkut, “katanya.

Tambah Noor Hisham, jumlah keseluruhan kluster kini berjumlah 1840 dan sebanyak 1378 kluster telah ditamatkan di samping hanya tinggal 462 kluster yang masih aktif- Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.