Agong berkenan terima panggilan Erdogan

67

12 MEI: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menerima panggilan telefon secara peribadi daripada Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan, petang semalam.

Menerusi muat naik di Facebook Istana Negara, baginda menzahirkan ketetapan diambil kerajaan Malaysia untuk bersama Turki dan komuniti antarabangsa mengecam pencerobohan serta serangan tentera penjajah Israel, selain pendatang haram Yahudi ke atas rakyat Palestin, termasuk jemaah yang beribadah di Masjid Al-Aqsa, baru-baru ini.

Dalam perbualan telefon selama 20 minit bermula jam 6 petang di Istana Negara itu, Seri Paduka Baginda turut menegaskan Malaysia menyokong dan mengalu-alukan cadangan mengadakan persidangan tergempar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), bagi membincangkan isu keganasan Israel terhadap Palestin.

ERDOGAN

Baginda turut menyentuh hubungan dua hala yang terjalin erat selama ini di antara Malaysia dan Turki serta usaha pengukuhan perdagangan antara kedua-dua negara.

Al-Sultan Abdullah dan Erdogan pada masa sama turut bertukar ucapan selamat menyambut Aidilfitri, termasuk kepada ahli keluarga masing-masing.

Pada masa sama, Yang di-Pertuan Agong menzahirkan penghargaan kepada Erdogan atas jemputan mengadakan lawatan negara ke Turki pada September ini.

Sebelum ini, Al-Sultan Abdullah dijadualkan mengadakan lawatan negara ke Turki selama lima hari bermula 19 April 2020, namun ditangguhkan akibat penularan COVID-19.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.