Tempahan vaksin AstraZeneca diperluas ke negeri lain

28

11 MEI: Individu dari negeri lain boleh membuat tempahan bagi mendapatkan suntikan vaksin AstraZeneca apabila permohonan dibuka dalam tempoh terdekat.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin, berkata pemberian vaksin keluaran United Kingdom secara sukarela dan berasaskan permohonan daripada orang ramai itu akan diperluaskan ke negeri lain.

Khairy yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, berkata perkara itu selari dengan ketibaan bekalan vaksin berkenaan lebih sejuta dos AstraZaneca, menjelang akhir bulan ini.

“Justeru itu, pengumuman mengenai butiran negeri mana, Pusat Pemberian Vaksin (PPV) dan tempahan akan dibuat tidak lama lagi,” katanya menerusi kenyataan dimuat di akaun Twitter, @Khairykj, hari ini.

Sebanyak 268,800 dos vaksin AstraZeneca yang mula ditawarkan kepada orang ramai menerusi permohonan dalam talian pada 2 Mei lalu, ‘laris’ hanya dalam tempoh kurang empat jam, sejak dibuka pada jam 12 tengah hari.

Susulan sambutan menggalakkan itu, Khairy pada 3 Mei lalu dilaporkan berkata, pemberian vaksin AstraZeneca secara sukarela akan diperluaskan ke seluruh negara bagi memberi peluang kepada mereka yang tidak mempunyai akses kepada internet dan laman sesawang diiklankan.

Jawatankuasa Jaminan Akses Vaksin (JKJAV) menjangka lebih banyak vaksin AstraZeneca tiba hujung bulan ini dengan sejumlah 1.1 juta tempahan kedua daripada fasiliti COVAX akan diperoleh pada waktu sama.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.