SOP Aidilfitri boleh kawal COVID-19-Tun Mahathir

29

11 MEI: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, menyifatkan arahan ditetapkan kerajaan berhubung prosedur operasi standard (SOP) semasa Aidilfitri adalah bersesuaian situasi semasa dan boleh membantu mengawal serta menurunkan penularan jangkitan kes COVID-19.

Beliau berkata, justeru arahan dikeluarkan kerajaan supaya masyarakat tidak berkumpul pada sambutan hari raya ini, amat penting untuk dipatuhi.

Katanya, disiplin dan kawalan kendiri juga adalah penting diamalkan individu semasa menyambut Aidilfitri, memandangkan pasukan keselamatan serta orang lain tidak mampu menjaga semua pihak dalam pematuhan SOP berkenaan.

“Kegagalan untuk menjaga diri akan menyebabkan kadar jangkitan semakin meningkat pada hari raya.

“Sebab itu arahan pada hari raya ini supaya kita tidak berkumpul amatlah penting untuk dipatuhi dan kita tidak perlu buat lawatan ke rumah kawan serta sanak saudara, itu bukan satu lawatan yang baik kerana kita mungkin akan dijangkiti atau mereka akan dijangkiti.

“Kita perlu sabar pada hari raya tahun ini kerana kita ingin melihat penyakit itu dikurangkan dengan tindakan yang kita ambil,” katanya menerusi kenyataan khas COVID-19, semalam.

Dr Mahathir berkata, kegagalan mengikuti arahan kerajaan juga akan menyebabkan negara berdepan risiko, seperti yang berlaku di India dan Brazil.

Jelasnya, negara terbabit kini tidak lagi mampu mengawal dan menjaga rakyat mereka yang dijangkiti COVID-19 sehingga terpaksa dibiarkan begitu sahaja.

Selain itu, Dr Mahathir turut merayu rakyat supaya sentiasa mematuhi SOP dan hanya tinggal di rumah sahaja sekiranya tiada keperluan benar-benar penting, seperti berulang kali disarankan pihak berkuasa, termasuk Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba serta Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

“Masalah mungkin timbul dalam beberapa aspek, termasuk mendapatkan bekalan makanan, namun ini boleh diselesaikan dengan pembelian secara dalam talian,” katanya.

“Kejayaan mengawal angka jangkitan COVID-19 dengan tinggal di rumah semasa pandemik ini mula berlaku boleh berulang dengan mengelakkan pengumpulan di tempat awam,” katanya.

Pada masa sama, Dr Mahathir berkata, individu yang belum menerima suntikan vaksin COVID-19 perlu berusaha mendapatkan imunisasi itu.

“Vaksin ini memberi perlindungan kepada kita walaupun tidak 100 peratus, tetapi lebih dari 90 peratus,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.