Rakyat Sabah perlu faham kenapa kerajaan laksana PKP-Hajiji

44

11  MEI :  Kerajaan Negeri Sabah mengharapkan agar rakyat di negeri itu memahami dengan setiap tindakan kerajaan yang melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika musim perayaan Aidilfitri tahun ini. 

Ketua Menterinya, Datuk Hajiji Noor berkata 
kerajaan persekutuan mempunyai sebab untuk berbuat demikian termasuk yang paling utama adalah bagi mengekang dan memutuskan rantaian penularan COVID-19 yang semakin membimbangkan.

“Ketibaan 1 Syawal yang akan diraikan Khamis ini merupakan satu tanda kemenangan kepada umat Islam selepas berpuasa selama sebulan.

“Walaupun tahun ini kali kedua sambutan Aidlfitri diraikan dalam keadaan norma baharu, namun ia bukan penghalang untuk menghayati makna perayaan itu.

“Sehubungan itu, rakyat di negeri ini harus terus mematuhi SOP ditetapkan sepanjang sambutan Aidilfitri bagi memutuskan penularan pandemik Covid-19,” katanya menerusi perutusan sempena Aidilfitri, hari ini. 

Justeru itu, Hajiji memberitahu rakyat perlu akur kerana penularan pandemik menyebabkan tiada lagi sambutan seperti dahulu termasuk bebas untuk bersalaman dan mengunjungi rumah terbuka saudara serta rakan.

Sempena Aidilfitri ini juga, Hajiji turut meminta agar semua masyarakat tidak melupakan pengorbanan barisan hadapan yang bekerja-keras memerangi penularan COVID-19.

“Walaupun tiada sambutan seperti dahulu, seperti perayaan lain, Aidilfitri akan terus menjadi tonggak perpaduan dan diraikan tanpa mengira bangsa serta agama semoga kita semua kekal selamat dan begitu juga orang sekelilling kita. 

“Begitu juga anggota pasukan keselamatan kita yang tidak dapat bersama keluarga pada Aidilfitri ini, kerana bertugas melindungi negara. Kita berdoa mereka dijauhkan daripada bahaya dan terima kasih atas perkhidmatan diberikan.

“Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan kini berjalan lancar dan saya meminta kerjasama semua pihak untuk mendapatkan suntikan vaksin itu kerana kita mesti melawan pandemik ini dan menghentikannya daripada terus menjejaskan ekonomi serta kehidupan kita,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.