2 warga asing ditahan guna surat rentas negeri palsu

20

11 MEI: Tindakan dua lelaki warga menggunakan surat rentas negeri palsu yang dibeli dengan harga RM200 membawa padah apabila mereka ditahan polis di Kuantan, semalam.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, mereka ditahan dalam sekatan jalan raya di Plaza Tol Bentong ketika pihak polis menahan sebuah bas ekspres dari Pulau Pinang menuju ke Kuantan pada jam 1.30 tengah hari semalam.

“Dalam pemeriksaan berkenaan, pihaknya mendapati warga asing terbabit berusia 24 dan 27 tahun dalam keadaan meragukan dan apabila diperiksa mendapati menggunakan dokumen kebenaran rentas negeri yang dipalsukan.

“Hasil siasatan dokumen berkenaan disalin semula daripada yang asal dan digunakan kembali. Kedua-dua suspek juga akhirnya mengaku dokumen berkenaan diperoleh daripada seorang rakannya dengan bayaran RM200 sekeping.

“Selain itu, kedua-dua suspek itu juga tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah,” katanya hari ini.

Zaiham berkata, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 420/511 Kanun Keseksaan dan hukuman penjara selama tempoh tidak kurang setahun dan tidak lebih 10 tahun dan sebatan.

Suspek itu juga boleh didakwa mengikut seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959 pula, dikenakan denda tidak lebih RM10,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-dua sekali dan turut boleh dikenakan enam kali sebatan.

Selain itu, beliau berkata, pihaknya turut mengeluarkan kompaun kepada empat penumpang bas yang sama berusia antara 21 hingga 37 tahun yang menghala ke Pantai Timur kerana tiada surat rentas negeri.

Semua penumpang itu dikompaun mengikut Akta Peraturan 25 (A) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPDPPB) 2021 dan boleh dikenakan kompaun sehingga RM5,000.

Katanya, pihak polis tidak akan teragak-agak mengetatkan pemeriksaan di semua sekatan jalan raya antara negeri di daerah itu yang membabitkan sempadan Selangor dan Negeri Sembilan bagi mengekang pandemik COVID-19.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.