Syed Hamzah nafi luluskan dana SME kepada syarikat isterinya

108

10 MEI: Setiausaha Politik kepada Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar, Datuk Seri Syed Hamzah Syed Paie menafikan beliau mempunyai kaitan dengan kelulusan geran kementerian itu kepada syarikat milik isterinya.

Syed Hamzah mempersoalkan laporan Sarawak Report dan Malaysia Chronicle kononnya dana SME Corp diluluskan kepada syarikat isterinya empat tahun lepas di mana menurut beliau, geran berjumlah RM338,950 itu diluluskan pada tahun 2017, sedangkan Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan beliau mula berkhidmat dengan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) pada tahun lalu.

“Geran SME Corp yang diluluskan kepada syarikat isteri saya iaitu Azzahra Product Sdn Bhd tidak ada kaitan dengan Datuk Seri Wan Junaidi dan saya selaku setiausaha politiknya.

“Geran tersebut diluluskan SME Corp pada 10 Oktober 2017 manakala saya dan Datuk Seri Wan Junaidi mula berkhidmat di MEDAC pada 22 April 2020.

“Bagaiamana mungkin saya dan Datuk Seri Wan Junaidi terlibat dengan kelulusan geran pada empat tahun lepas sedangkan kami mula berkhidmat pada 2020,” katanya pada sidang media di luar pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, Kuala Lumpur, hari ini.

Terdahulu, beliau bersama dua peguamnya membuat laporan polis terhadap Sarawak Reports dan Malaysia Chronicle kerana menyiarkan laporan berbaur fitnah terhadap beliau dan Wan Junaidi, masing-masing pada 3 dan 5 Mei lalu.

Dalam pada itu, Syed Hamzah memberitahu laporan kedua-dua portal media itu tidak berasas dan cuba memfitnahnya mempunyai kepentingan dalam syarikat Azzahra Product Sdn Bhd, sedangkan beliau telah meletakkan jawatan dan menjual sahamnya.

“Saya meletakkan jawatan sebagai pengarah syarikat dan melupuskan saham saya di dalam syarikat Azzahra Product Sdn Bhd pada 23 November 2015. Ini bermakna saya sudah tidak lagi memiliki apa-apa saham dan kepentingan di dalam syarikat tersebut sejak 2015 hingga sekarang.

“Saya terkejut dengan nilai politik rendah diamalkan mereka yang terbabit dengan penyebaran fitnah dalam keadaan negara sedang bertungkus lumus berhadapan dengan COVID-19. Fakta dalam laporan berita diterbitkan oleh portal berkenaan adalah tidak benar, ” katanya.

Susulan laporan itu, Syed Hamzah juga mengesahkan telah membuat laporan polis yang sama terhadap pemilik akaun Facebook Jap Zainal dan Pemangsang Sarawak Baru di Balai Polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching, Sarawak pada 6 Mei lalu.

“Saya telah mengarahkan peguam saya di Kuala Lumpur dan Sarawak untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas Editor Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown, Malaysia Chronicle dan dua pemilik akaun Facebook di atas fitnah terhadap saya dan Datuk Seri Wan Junaidi.

“Ini termasuk menghantar notis tuntutan kepada keempat-empat pihak agar laporan itu diturunkan dan dipadam di laman sesawang serta Facebook serta memohon maaf secara terbuka,” tegasnya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berkenaan.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.