Sawit: Kerajaan peroleh untung luar biasa RM295 juta

33

8 MEI: Kerajaan dijangka memperoleh cukai keuntungan luar biasa sebanyak RM295 juta untuk tempoh tiga bulan pertama tahun ini selepas harga minyak sawit mentah (MSM) melepasi paras harga RM2,500 satu tan.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Dr Khairuddin Aman Razali berkata, ini merupakan perkembangan yang positif meskipun negara berdepan masalah kekurangan hasil berikutan pandemik COVID-19.

Katanya, pihaknya menganggarkan kerajaan akan memperoleh cukai keuntungan luar biasa yang lebih besar untuk tempoh tiga bulan berikutnya jika harga MSM semasa yang melebihi RM4,000 satu tan kekal dalam tempoh tersebut.

“Walaupun kita tidak menjangka harga MSM boleh bertahan pada harga RM4,000 satu tan, kita menjangka ia kekal pada purata antara RM3,500 dan RM3,800 satu tan berdasarkan corak peningkatan pada Mac, April dan Mei.

“Jika ia berterusan, kerajaan akan memperoleh hasil lebih besar yang akhirnya akan dipulangkan kepada rakyat,” katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan Hari Raya kepada 800 penerima yang terdiri daripada anak-anak yatim dan fakir miskin di Kuala Nerus, Terengganu.

Katanya, harga MSM yang melonjak kepada paras tertinggi dalam sejarah industri sawit Malaysia iaitu RM4,652 satu tan pada 6 Mei lepas telah memberi kelegaan kepada kira-kira 121,000 peneroka dan 300,000 pekebun kecil di seluruh negara.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.