Polis buru pihak bakar penghadang laluan tikus

92

10 MEI: Dalam usaha gigih kerajaan memutuskan rantaian penularan jangkitan COVID-19, masih ada pihak yang tidak memiliki rasa tanggungjawab apabila membakar penghadang dan kawat duri ditempatkan pihak polis di laluan tikus.

Tindakan liar itu diambil segelintir penduduk di Besut, Terengganu akibat terlalu marah laluan itu ditutup.

Perbuatan khianat itu dikesan di Kampung Gong Lapang di daerah berkenaan pada kira-kira jam 9.30 pagi semalam.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Roslee Chik, berkata masyarakat seharusnya memahami kepentingan untuk memutuskan rantaian jangkitan wabak pandemik terbabit apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Bagaimanapun, katanya, masih ada masyarakat tidak mengambil endah arahan dikuatkuasakan.

“Ini terbukti dengan sikap tidak bertanggungjawab pihak itu yang merosakkan penghadang dan kawat duri di sempadan Besut, Terengganu dan Pasir Putih, Kelantan.

“Mereka memberontak kerana ‘laluan tikus’ yang biasa mereka lalui ditutup sepenuhnya di sempadan antara kedua negeri itu,” katanya dalam kenyataan kepada media.

Susulan itu, Roslee berkata pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Besut bersama Jabatan Kerja Raya (JKR) meletakkan penghadang batu di laluan sama bagi memastikannya tidak dialihkan pada masa depan.

Pihak polis juga, katanya, sedang giat memburu individu yang melakukan perbuatan khianat itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana khianat dengan api.

Justeru, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian merosakkan harta kerajaan di sekitar daerah itu, boleh terus menghubungi bilik gerakan IPD Besut di talian 09-6959999 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.