Pelayar Asing Perlu Dapatkan Pas Lawatan Sosial

14

10 MEI: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) mengesahkan pelayar asing yang berada di perairan Malaysia dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dibenarkan terus berada dalam negara ini sehingga 31 Disember 2021.

Walau bagaimanapun, Ketua Pengarah JIM, Datuk Khairul Dzaimee Daud menegaskan kesemua pelayar asing perlu mendapatkan Pas Lawatan Sosial (PLS) daripada Pejabat Imigresen yang berdekatan.

Menurut beliau, ketetapan tersebut dibuat berdasarkan perbincangan JIM bersama pengusaha dan persatuan marina Malaysia secara persidangan video baru-baru ini

“Semua permohonan mesti disertakan surat pengesahan daripada kedutaan masing-masing dan surat sokongan dari pengusaha atau pemilik marina di mana mereka berlabuh. 

“Perbincangan berkenaan berkisar mengenai tindakan-tindakan yang perlu diambil oleh pelayar-pelayar asing bagi membolehkan mereka terus tinggal dan berlabuh di marina-marina berkaitan selepas 21 April 2021,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini. 

Dalam pada itu, Khairul Dzaimee memberitahu setakat 10 Mei 2021, terdapat kira kira 138 pelayar asing yang dikesan oleh JIM telah berlabuh secara sah di sekitar perairan Malaysia.

“Namun terdapat juga dalam kalangan pelayar asing ini yang berlabuh secara haram dan mereka bakal berdepan dengan tindakan undang-undang oleh agensi berkaitan,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.