MAH Rayu Kerajaan Benarkan Makan Dalam Hotel

53

10 MEI: Persatuan Hotel Malaysia (MAH) merayu kepada Kerajaan agar larangan makan di dalam premis ditarik semula dan bersedia mengenakan prosedur operasi standard (SOP) yang lebih ketat. 

Presidennya, Datuk N Subramaniam berkata, SOP tersebut termasuklah pihak hotel bersedia mengehadkan waktu makan dan mengurangkan kapasiti pelanggan. 

Menurut beliau, larangan makan dalam premis secara menyeluruh meletakkan pengusaha hotel dalam keadaan sukar kerana hanya beberapa hari saja diberikan untuk menyusun semula rancangan yang telah diatur sepanjang bulan itu.

“Hotel-hotel bukan saja berdepan pembaziran bekalan yang mudah rosak tetapi juga lebihan tenaga kerja untuk tempoh itu.

SUBRAMANIAM

“Seperti yang semua tahu, kerajaan tidak menawarkan sokongan atau bantuan ketika mengumumkan perintah kawalan pergerakan ketiga, dan ini menyebabkan pengusaha hotel ‘sakit’ akibat pembatalan tempahan bilik sepanjang cuti Hari Raya Aidilfitri.

“Justeru, memandangkan keadaan semasa yang menyekat semua aliran pendapatan, industri perhotelan bersedia menerapkan SOP yang lebih ketat,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini. 

Mengulas lanjut, Subramaniam memberitahu pihak hotel juga bersedia mengurangkan perkhidmatan bufet yang disajikan di samping mengehadkan dua pelanggan di setiap meja dan juga ujian wajib untuk tetamu hotel dari negeri lain.

Beliau berkata, kerajaan perlu mempertimbangkan pilihan tersebut sebelum mengenakan larangan sepenuhnya, bagi membolehkan industri untuk bertahan. 

“Industri memahami perlunya sekatan pergerakan, namun masih ada ruang untuk memperbaiki keseimbangan antara kehidupan dan mata pencarian.

“Hotel-hotel sudah terjejas teruk akibat sekatan perjalanan antara negeri yang dilanjutkan kerajaan. 

“Di mana industri kehilangan pendapatan minimum RM135 juta dalam sektor makanan dan minuman tahun lalu kerana berada di bawah PKP pada bulan puasa.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.