Kerajaan terpaksa arah tutup premis tersenarai dalam HIDE

46

10 MEI: Kerajaan terpaksa mengarahkan pusat beli-belah yang berada dalam senarai sistem amaran awal Hotspots Identification for Dynamic Engagement (HIDE) ditutup selama tiga hari kerana ia menjadi kawasan titik panas penularan Covid-19 biarpun ada titik buta apabila berlaku ketidakpatuhan mendaftar menggunakan aplikasi MySejahtera.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin, berkata tindakan drastik perlu dilakukan berikutan kesesakan orang ramai dan peningkatan risiko penularan kes Covid019 membabitkan pusat beli belah terutama menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri, tidak lama lagi.

Khairy berkata senarai 150 lokasi dan premis di bawah sistem amaran awal HIDE dikeluarkan baru-baru ini adalah hanyalah membabitkan titik panas berskala besar sahaja.

“Senarai  yang kita keluarkan berkenaan adalah berdasarkan potensi tinggi kemungkinan penularan jangkitan wabak di lokasi dan premis terbabit.

“Kita memilih untuk tidak menyenaraikan kesemua senarai hotspot bagi mengelak situasi panik dalam kalangan masyarakat,” katanya dalam sidang media mingguan Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF), di Putrajaya hari ini.

Mengulas lanjut, Khairy berkata pihaknya menerima banyak pertanyaan mengenai kenapa premis dan lokasi lain tidak disenaraikan sama sedangkan ia turut berpotensi menyebabkan penularan wabak.

Khairy berkata, senarai 150 di bawah HIDE itu tidak hanya membabitkan pasar raya besar dan premis runcit sebaliknya ia turut merangkumi pejabat dan beberapa jenis premis lain.

Beliau berkata, premis dan lokasi yang tersenarai itu berpotensi untuk disenaraikan semula sekiranya ia masih mempunyai risiko penularan yang sama.

Pada sidang akhbar sebelum ini, Khairy memaklumkan, pihaknya mengesan 1,660 lokasi berisiko mencetuskan kluster baharu susulan pelaksanaan sistem HIDE.

Katanya, antara lokasi berisiko yang dikesan seperti bazar, pejabat, pusat beli belah dan pasar raya, malah, majlis sosial juga tersenarai.

Senarai pertama HIDE dikeluarkan Sabtu lalu membabitkan 150 lokasi dan premis yang mempunyai potensi sebagai titik panas penularan Covid-19.

Antara yang mendominasi senarai ialah pusat membeli belah terkemuka di Lembah Klang termasuk lokasi lain seperti pasar, hotel, kedai runcit, masjid dan bazar Ramadan.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.