Suasana operasi bazar Aidilfitri tidak sesak, ikut SOP ketat

15

9 MEI : Pengumuman kerajaan semalam bahawa semua bazar Aidilfitri di seluruh negara ditutup mulai esok, tidak mencetuskan ‘panik’ dalam kalangan rakyat untuk membuat persiapan perayaan itu, biarpun pada saat terakhir perniagaan berkenaan dibenarkan beroperasi, hari ini.

Dalam tinjauan PNBBC, suasana di beberapa bazar Aidilfitri di Selangor, mendapati jumlah pengunjung yang perlu beratur di pintu masuk seperti ditetapkan pengurusannya adalah sekitar 30 orang, manakala kurang daripada 200 orang dibenarkan berada dalam kawasan  pusat perniagaan memiliki lebih 100 gerai itu pada satu masa

Keadan lebih terkawal kerana prosedur operasi standard (SOP) ketat dikenakan pengurusan bazar, iaitu setiap pengunjung diberikan nombor giliran untuk melepasi pintu utama, diwajibkan memakai pelitup muka, perlu menjalani pemeriksaan suhu dan menggunakan cecair pembasmi kuman.

Dalam usaha membuatkan keadaan lebih selesa dan selamat kepada pengunjung, laluan satu hala ditetapkan melalui tanda di lantai, malah terdapat sukarelawan menjaga di setiap hujung laluan bagi memastikan tiada individu melawan arus.

Seorang pengunjung yang ditemui di sebuah pusat beli-belah di Shah Alam, Nur Kamarul Nur Kamal, 45, berkata walaupun pada awal perancangannya, dia dan isteri mahu membeli pakaian baharu untuk diri mereka dan anak-anak pada malam raya seperti kebiasaan dilakukan setiap tahun, tetapi pengumuman penutupan bazar Aidilfitri itu membuatkan mereka mencari kelengkapan berkenaan hari ini.

“Setiap tahun kami sekeluarga memang akan membeli pada malam raya kerana suasananya lebih meriah dan harga pun diberi diskaun menarik, tetapi disebabkan COVID-19 semakin membimbangkan dan arahan dikeluarkan kerajaan, kami terpaksa mencarinya lebih awal.

“Pagi tadi kami memang keluar awal kerana risau terlalu ramai orang yang turut berbelanja saat akhir ini, tetapi tak ramai sangat rupanya kerana SOP ketat, alhamdulillah,” katanya yang hanya membuat persiapan sederhana kerana tidak boleh merentas daerah untuk pulang ke kampung kedua-dua mereka yang terletak di Tanjung Karang, Selangor.

Peniaga, Fatimah Kasnon, berkata penutupan pada saat akhir itu sedikit-sebanyak menjejaskan pendapatan penguasaha bazar kerana kebiasaannya, hasil jualan akan lebih banyak diperoleh menjelang tiga hari terakhir Aidilfitri.

“Berniaga di bazar yang lebih terbuka boleh menarik semakin ramai pelanggan setiap hari berbanding premis perniagaan di dalam pusat beli belah, namun demi membantu usaha mengurangkan COVID-19, saya terima keputusan kerajaan,”katanya.

Sementara itu, beberapa pengguna media sosial, memberi pelbagai reaksi berhubung persiapan meraikan Aidilfitri pada tahun ini.

Bagaimanapun, kebanyakan mereka memaklumkan sekadar membuat persiapan sederhana, berikutan sambutan hari raya tahun ini dianggap kurang meriah serta pergerakan terbatas selepas kerajaan mengenakan larangan merentas daerah dan negeri.

Seorang pengguna, Suriayati Baharom, berkata, dia sekeluarga hanya akan membeli persalinan baharu dengan berkunjung ke kedai, beberapa hari lagi untuk digayakan ketika bergambar kenangan di pagi Aidilfitri.

“Lagipun saya takut ke bazar, bersesak-sesak kerana ancaman COVID-19 dan kita tidak tahu siapa pembawa virus ini.

“Saya juga hanya membuat persiapan ringkas dan redha tidak dapat pulang ke kampung demi membantu memutuskan rantaian COVID-19 sebagai pengorbanan untuk negara, selain mahu menzahirkan rasa simpati terhadap barisan hadapan yang bertungkus-lumus melaksanakan tugas,”katanya di komen.

Respon turut diberikan Shanty Nur Mamalsyqi yang berkongsi komen bahawa pakaian baharu hari raya untuk anak-anak sudah dibelinya sejak awal secara dalam talian, manakala wang saku persiapan Aidilfitri untuk orang tua di kampung dimasukkan menerusi akaun bank dan biskut raya ditempah daripada kawan.

“Cara ini bukan sahaja lebih memudahkan dan selamat daripada bersesak dalam situasi COVID-19, tetapi dapat juga menyokong bisnes kawan-kawan, manakala anak-anak memahami situasi ini sebab hari-hari saya beritahu mereka bahaya pandemik terbabit, malah sekolah pun banyak buat program kesedaran pandemik berkenaan,”katanya.

Bagi Ereen Jufri yang menulis ‘mood raya tu tak datang lagi’ di komen Facebook, dia mungkin tidak membeli keperluan Aidilfitri pada tahun ini.

“Mungkin tidak beli persiapan hari raya sebab pusat beli belah dekat rumah pun kena tutup tiga hari,” katanya.

Isz Ketambola pula berkongsi, dia hanya mengenakan pakaian hari raya tahun lalu dan membuat persiapan ala kadar untuk mengelakkan pembaziran, memandangkan tidak dapat meraikannya bersama keluarga di kampung halaman.

“Persiapan juadah raya pun sama, cuma buat sedikit rendang serta ketupat untuk merasa kemeriahan raya bersama suami dan anak tunggal kami, manakala kuih raya beli apa yang teringin dimakan sahaja disebabkan tidak boleh terima kunjungan tetamu,” katanya.

Kaedah persiapan secara ringkas turut dilakukan Alin Syukor apabila tidak menyediakan persiapan baharu hari raya, kecuali sedikit juadah yang dibeli hari ini.

“Lagipun, anak-anak saya faham keadaan semasa dan mereka sendiri minta saya supaya tidak membazir membuat persiapan kerana bukan dapat pulang ke kampung berhari raya pun,” katanya. – Oleh FAIZATUL FARHANA FARUSH KHAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.