Polis panggil Awie beri keterangan ingkar SOP PKPP

210

9 MEI: Selepas beberapa selebriti disiasat polis kerana tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), terkini legenda rock tanah air, Datuk Awie akan dipanggil pihak berkuasa untuk diambil keterangan berhubung situasi sama.

Awie atau nama sebenarnya, Ahmad Azhar Othman didakwa melanggar SOP Perintah Kawalan Pergerakan Permulihan (PKPP) di Melaka.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Mohd Sukri Kaman, berkata tindakan itu diambil selepas pihaknya menerima laporan polis, hari ini berhubung satu video klip berdurasi 42 saat memaparkan artis itu tidak mematuhi SOP terbabit.

“Video tular di media sosial ini menunjukkan seorang selebriti, iaitu Datuk Awie dan beberapa individu melanggar SOP PKPP semasa menghadiri satu majlis misi kemanusiaan di sebuah hotel di Jalan Hang Tuan, Melaka.

“Kesemua individu yang terbabit dalam kes ini, termasuk Datuk Awie dan penganjur program akan dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah untuk diambil keterangan,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Mohd Sukri berkata, siasatan akan dilengkapkan dengan kadar segera dan kemudian dirujuk ke Pejabat Pengarah Pendakwaan Negeri Melaka untuk sebarang keputusan.

“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 21A Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Peraturan 18, Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Kawalan Pergerakan Pemulihan),” katanya.

Mengulas lanjut, Mohd Sukri berkata, pihak polis memohon kesemua individu terbabit atau mempunyai maklumat supaya hadir ke IPD Melaka Tengah bagi membantu siasatan.

“Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa mematuhi SOP PKPP dan kegagalan berbuat demikian boleh dikenakan tindakan di bawah undang-undang dikuatkuasakan,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.