Aliran trafik ke Terengganu meningkat 25 peratus

24

9 MEI: Selain Kelantan, aliran trafik kenderaan yang memasuki Terengganu, menunjukkan trend peningkatan sejak beberapa hari lalu, sempena Aidilfitri Khamis ini.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Roslee Chik, berkata trend peningkatkan kadar kemasukan ke negeri itu dilaporkan sebanyak 25 peratus.

Lebih 18,000 kenderaan, terutama dari pantai barat, katanya, memasuki negeri itu sejak beberapa hari lalu, berbanding kira-kira 15,000 sebelum ini.

“Katanya, kebanyakan kenderaan itu adalah dari Selangor, Kuala Lumpur, Pahang dan Kelantan.

“Saya telah membuat pemantauan di Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) Terengganu sejak dua tiga hari lepas yang menyaksikan kadar ini,” katanya.

Roslee berkata, alasan yang lazim diberikan pengguna kenderaan yang ingin merentas sempadan memasuki negeri itu adalah urusan kerja, menghantar dan mengambil anak, selain melawat orang sakit serta kematian.

Katanya, sebanyak 135 pasukan pematuhan digerakkan di seluruh Terengganu bagi memastikan masyarakat menyambut Aidilfitri mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Pihak polis, jelasnya, akan membuat pemeriksaan sekiranya terdapat kediaman yang terlalu banyak kereta dan bilangan kasut serta selipar.

“Jika berlaku pelanggaran SOP, pihak polis akan mengenakan tindakan kompaun,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.