1,060 kenderaan cuba masuk Kelantan diarah berpatah balik

36

9 MEI: Pihak polis Kelantan telah mengarahkan 1,060 kenderaan yang cuba memasuki Kelantan menerusi tiga sekatan jalan raya (SJR) di sempadan negeri berkenaan supaya berpatah balik dalam tempoh 24 jam sehingga jam 8 pagi tadi.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat, berkata kesemua mereka dikesan tidak mempunyai surat kebenaran daripada polis dan memberi pelbagai alasan tanpa bukti kukuh.

Malah, Shafien berkata kebanyakan mereka sanggup memandu dari jauh termasuk Johor dan Lembah Klang semata-mata mencuba nasib untuk menyambut Aidilfitri di kampung halaman.

“Mungkin mereka lepas di SJR lain, namun selepas pemeriksaan terperinci dilakukan di tiga SJR sempadan negeri iaitu Jeli, Pasir Puteh dan Gua Musang, kita dapati mereka gagal mengemukakan surat kebenaran yang sah.

“Ada juga yang menggunakan alasan pulang ke kampung kerana kes kecemasan, namun apabila ditanya lebih terperinci, mereka gagal menjawabnya.

“Sehubungan itu, kita terpaksa mengarahkan mereka berpatah semula,” katanya pada sidang media di Kota Bharu hari ini.

Mengulas lanjut, Shafien berkata, pihaknya mengingatkan orang ramai supaya tidak cuba memasuki Kelantan tanpa sebarang surat kebenaran kerana pihaknya akan memeriksa secara teliti surat yang dikemukakan.

“Nasihat saya, sambutlah raya di kawasan masing-masing, jangan cuba rentas daerah, negeri,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Shafien berkata, pihaknya akan menghantar dua pasukan polis untuk memantau dua pasar raya di Kelantan yang diarahkan tutup kerana tersenarai dalam sistem Hotspots Identification for Dynamic Engagement (HIDE), dikenal pasti sebagai lokasi berisiko kepada penularan kes COVID-19.

Katanya, sekiranya pasar raya berkenaan tidak berbuat demikian, pihaknya akan mengambil tindakan undang-undang.

“Pada masa sama kita juga akan memantau peniaga di tepi jalan atau penjaja supaya mereka mematuhi arahan dengan tidak lagi berniaga.

“Saya juga ingin mengingatkan orang ramai supaya tidak berbuka puasa di tepi Sungai Kelantan bagi mengelak orang ramai berkumpul,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.