Rakyat Palestin, Polis Israel Bertempur di Masjid Al-Aqsa

60

8 MEI: Polis antirusuhan Israel yang bertempur dengan ratusan rakyat Palestin di pekarangan masjid Al-Aqsa, Palestin, malam tadi merupakan kemuncak kepada kekerasan selama seminggu di Kota Suci dan Tebing Barat.

Rakyat Palestin membaling batu, botol dan bunga api ke arah anggota polis yang melepaskan peluru getah dan bom tangan dalam kekacauan di tempat ketiga paling suci bagi umat Islam itu, yang turut dihormati Yahudi sebagai lokasi dua kuil mereka pada zaman dulu.

Sekurang-kurangnya 163 rakyat Palestin dan enam pegawai polis Israel dilaporkan cedera di Al-Aqsa dan di tempat lain di timur Baitulmaqdis, manakala Palang Merah Palestin melaporkan, mereka membuka sebuah hospital lapangan kerana wad kecemasan sudah penuh.

KETEGANGAN di Baitulmaqdis semakin memuncak sehingga berlaku rusuhan.

Menerusi laporan AFP, Polis Israel memaklumkan, disebabkan ‘rusuhan ribuan jemaah’ selepas solat pada waktu malam, pasukan keselamatan terpaksa ‘memulihkan ketenteraman’.

Ketegangan di Baitulmaqdis semakin memuncak sejak beberapa minggu lalu, berikutan rakyat Palestin memprotes larangan Israel terhadap akses ke beberapa bahagian di Kota Lama ketika Ramadan, selain pihak berkuasa mengarahkan beberapa keluarga Palestin meninggalkan rumah mereka bagi memberi jalan untuk penduduk Israel.

Amerika Syarikat (AS) menggesa ketegangan diredakan dan berkata, ancaman pengusiran itu akan memburukkan lagi situasi di Baitulmaqdis, susulan amaran Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berhubung pengusiran secara paksa itu akan membawa kepada ‘jenayah perang’.

Pergolakan pada Jumaat itu berlaku pada Hari Al-Quds, hari tahunan demonstrasi pro Palestin yang diadakan Iran, musuh utama Israel, yang turut menyaksikan ribuan perarakan di negara majoriti umat Islam di rantau ini sehingga ke Pakistan.

Dalam pada itu, Presiden Palestin, Mahmud Abbas berkata, beliau menganggap kerajaan Israel ‘bertanggungjawab’ terhadap rusuhan berkenaan dan menyuarakan ‘sokongan penuh untuk pejuang di Aqsa’.

Pertempuran meletus ketika umat Islam bersiap di pekarangan Al-Aqsa bagi menunaikan solat Jumaat terakhir Ramadan.

Intifada Palestin kedua meletus pada tahun 2000 selepas satu lawatan ke kawasan itu oleh pemimpin pembangkang Israel sayap kanan, Ariel Sharon, yang dilihat sebagai provokasi yang menyakitkan bagi rakyat rakyat Palestin.

Polis berkata, sebelum itu pasukan keselamatan Israel membunuh dua rakyat Palestin dan mencederakan seorang lagi selepas ketiga-tiga mereka melepaskan tembakan di pangkalan Salem di Tebing Barat yang diduduki.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.