Polis pantau pengangkutan awam elak rentas daerah, negeri

79

8 MEI: Jabatan dan agensi penguatkuasaan diarah meningkatkan operasi pemantauan serta mengambil tindakan tegas terhadap individu yang melanggar prosedur operasi standard (SOP), termasuk sempena Aidilfitri.

Menurut kenyataan Kementerian Dalam Negeri (KDN), jabatan dan agensi penguatkuasaan terbabit adalah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen, Jabatan Penjara, Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom), Agensi Antidadah Kebangsaan dan Agensi Kawalan Sempadan.

KDN berkata, arahan itu dikeluarkan bagi memastikan penularan COVID-19 dapat dibendung dengan lebih berkesan dan menyeluruh, terutama menjelang Aidilfitri minggu depan.

“Selain menambah bilangan kekuatan anggota dan operasi sekatan jalan raya di lapangan, pemantauan ketat juga dijalankan bagi menghalang individu yang mengambil kesempatan merentas negeri atau daerah menggunakan pengangkutan awam seperti KTM Komuter, Transit Aliran Ringan (LRT), Transit Aliran Massa (MRT), Express Rail Link Sdn Bhd (ERL), KL Monorail atau perkhidmatan e-hailing.

“KDN memantau rapat perkembangan penularan COVID-19 dalam negara dan menerima banyak laporan daripada jabatan serta agensi penguatkuasaan berhubung masalah kekurangan pematuhan terhadap SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang ditetapkan kerajaan,” menurut kenyataan itu, hari ini.

Kerajaan ketika ini, melaksanakan PKP di beberapa daerah di Selangor, Johor, Terengganu, Perak dan Kelantan bermula 6 Mei lalu, selain mengenakan arahan sama di seluruh Kuala Lumpur, mulai keesokannya.

Pelaksanaan PKP selama dua minggu itu, sebagai usaha membendung penularan jangkitan pandemik terbabit.

Kenyataan KDN itu juga memaklumkan, semua pihak diseru untuk terus mematuhi SOP dan bekerjasama dengan segala usaha serta langkah diambil kerajaan bagi melindungi nyawa rakyat daripada ancaman COVID-19. – Oleh FAIZATUL FARHANA  FARUSH KHAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.