Pengusaha bas pelancongan makin tersepit

23

8 MEI: Pengusaha dan pemandu bas pelancong kini dihimpit masalah kewangan sehingga mengakibatkan ramai yang mengalami tekanan hidup kesan penularan COVID-19.

Malah, lebih membimbangkan, ada meninggal dunia akibat tekanan perasaan sehingga diserang penyakit jantung.

Timbalan Presiden Pertubuhan Gemilang Agensi Pelancongan dan Pengusaha Bas Malaysia (GAPP), Wan Shairi Wan Ahmad berkata, perkara itu berlaku akibat kehilangan punca pendapatan semenjak pandemik COVID-19 sekali gus ramai yang menanggung hutang yang tidak mampu dilunaskan.

“Masalahnya, mereka tidak layak menerima moratorium pembiayaan daripada bank mengakibatkan kehidupan pengusaha bas pelancong semakin susah.

“Sebelum ini, kebanyakan kami membeli bas baharu sebagai persediaan untuk menyahut Tahun Melawat Malaysia 2020. Akhirnya, hampir kesemua pengusaha tidak mampu bayar ansuran bas.

“Bagaimana hendak bertahan…kalau sebulan kena tanggung RM80,000 sebuah, kalau lapan buah bas berapa banyak kena bayar,” soalnya.

Wan Shairi Wan Ahmad berkata, ketika ini tiga daripada empat pengusaha bas pelancongan meninggal dunia disebabkan serangan jantung ekoran tidak ada pendapatan.

Seorang lagi, jelasnya pemandu bas pelancong yang membunuh diri dengan terjun dari bangunan di Sentul.

Beliau berkata demikian pada sidang media khas Penyampaian Bantuan Khas Kepada Pemandu Bas Persiaran yang terjejas akibat pandemik COVID-19 yang diadakan menerusi aplikasi Zoom oleh Majlis Pelancongan Malaysia (MTC) hari ini.

Justeru, Wan Shairi mencadangkan MTC menyediakan khidmat kaunseling untuk pengusaha dan pemandu bas pelancong agar mereka dapat terus bertahan dalam waktu pandemik ini.

“Masalah kesihatan mental penggiat industri berkenaan pada waktu ini sangat rapuh apatah lagi dalam keadaan kehilangan punca pendapatan sejak para pelancong tidak dibenarkan masuk ke dalam negara,” katanya. 

Sementara itu, Presiden MTC, Uzaidi Udanis tidak menolak situasi terkini negara mengakibatkan ramai penggiat industri itu terkesan dengan teruk.

“Justeru, pihaknya akan menimbangkan menawarkan khidmat kaunseling bagi membantu mereka yang terjejas termasuk mengalami tekanan hidup,” katanya. 

Get real time updates directly on you device, subscribe now.