Suami Isteri Mengaku Tidak Bersalah Dera Pelajar Tahfiz

23

6 MEI: Pasangan suami isteri yang juga merupakan pengurus pusat tahfiz didakwa di Mahkamah Majistret Ampang hari ini atas pertuduhan mencederakan seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun, dua bulan lalu.

Namun, tertuduh, Norizan Yahaya, 52, dan suaminya, Muhammad Yaqoob, 32, yang juga warga Pakistan, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan dua majistret berasingan.

Di hadapan Majistret Farah Nasihah Annuar, Norizan didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap mangsa di sebuah pusat tahfiz di Taman Tun Abdul Razak, Ampang di antara 9 hingga 23 Mac.

Jika disabitkan kesalahan, dia boleh dihukum di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Dalam pada itu, di hadapan Majistret Normaizan Rahim, Muhammad didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan dengan menggunakan rotan terhadap mangsa sama di lokasi dan tarikh sama.

Atas kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun atau sebat atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Shazwani Abdullah dan Suriantiazila Muhamad manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam bela, Dony Abdullah.

Mahkamah kemudian membenarkan Norizan diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan iaitu dilarang mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan.

Sementara bagi Muhammad pula, dia dibenar untuk diikat jamin sebanyak RM5,000 oleh dua penjamin warga tempatan dan memenuhi syarat tambahan iaitu melaporkan diri di balai polis sekali sebulan dan tidak mengganggu mangsa sehingga kes selesai.

Mahkamah turut menetapkan 18 Jun depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Terdahulu, PN BBC Portal melaporkan polis berjaya selamatkan lapan pelajar sebuah pusat tahfiz berusia tujuh hingga 15 tahun daripada menjadi mangsa penderaan sepasang suami isteri dalam satu serbuan di Ampang, semalam.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner, Mohamad Farouk Eshak berkata serbuan itu dilakukan sepasukan anggota dan pegawai polis dari Cawangan D11, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor.

Berikutan itu, polis turut menahan sepasang suami isteri yang juga pemilik pusat tahfiz berkenaan kerana disyaki melakukan penderaan fizikal dan mental terhadap kanak-kanak terbabit

Get real time updates directly on you device, subscribe now.