Peniaga Akur Bazar Ramadan Selangor Ditutup

20

6 MEI : Walaupun operasi bazar Ramadan di Selangor tidak dibenarkan beroperasi mulai Sabtu ini, rata-rata peniaga akur dengan langkah terbabit yang dapat mengekang penularan COVID-19

Seorang peniaga nasi lemak dan makanan Barat di bazar Ramadan di Jalan Reko, Kajang, Mohd Shakir, 29, berkata dia  akur dengan ketetapan kerajaan biarpun sedih.

“Memang rasa sedih apabila dapat tahu tentang perkara ini. Jika penutupan bazar ini mampu mengekang penularan COVID-19, kami akur. Lagipun ini adalah arahan kerajaan.

“Kita tidak boleh pentingkan diri sendiri, walaupun ada rasa ketidakpuasan hati, mahu atau tidak kita tetap kena ikut arahan. Selepas ini, saya akan beroperasi di kedai sendiri sahaja. 

PENIAGA AKUR DENGAN ARAHAN PENUTUPAN BAZAR RAMADAN DI SELANGOR BAGI MENGEKANG PENULARAN COVID-19.

“Namun, saya bersyukur kerana difahamkan peniaga bazar akan menerima bantuan RM500. Bantuan itu sedikit sebanyak dapat menampung kerugian kos barangan kering yang saya dah beli kerana tidak dapat berniaga sehingga ke akhir Ramadan,” katanya kepada PN BBC Portal, hari ini. 

Bagi peniaga ayam goreng, Mohd Nazmi Jamil, 29, memaklumkan penutupan bazar Ramadan pada Sabtu ini amat memberi kesan yang kepada perniagaannya memandangkan tidak ramai orang berkunjung ke gerainya khususnya ketika wabak COVID-19. 

“Walaupun dapat bantuan RM500 tapi ia tidak dapat menanggung jumlah kerugian yang kami kena tanggung disebabkan penutupan ini. 

“Kami sasar nak berniaga sampai penghujung puasa sebab ramai tak boleh balik kampung tapi bila tengok pengumuman, sampai Sabtu ini sahaja,” katanya yang berniaga di bazar Ramadan Bandar Baru Bangi. 

Semalam, Kerajaan Negeri Selangor mengumumkan sebanyak 11,000 peniaga bazar Ramadan di enam daerah di Selangor bakal menerima bantuan RM500 akibat tidak dibenarkan beroperasi mulai Sabtu ini ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari menyatakan bantuan khas berkenaan akan disalurkan selepas Aidilfitri dengan peruntukan sebanyak RM5 juta.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.