MAQIS serah 9 tan ayam rampasan kepada Zoo Negara

29

6 MEI: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) hari ini menyerahkan sumbangan bekalan makanan sejumlah RM78,000 kepada Zoo Negara.

MAQIS dalam satu kenyataan kepada media berkata, sumbangan itu terdiri daripada 740 karton atau sembilan tan ayam sejuk beku yang dianggarkan bernilai RM72,000 dan 520 kilogram (kg) daging kerbau sejuk beku dari India dengan anggaran bernilai RM6,000.

Katanya, sumbangan itu adalah rampasan yang dilucuthakkan membabitkan kes dari Januari sehingga Mac lalu dan majlis penyerahannya disempurnakan Timbalan Menteri Pertanian (I), Datuk Seri Ahmad Hamzah yang berlangsung di Wisma Tani, Putrajaya hari ini.

Menurut kenyataan itu semua ayam sejuk beku itu ditahan semasa cubaan diseludup dari negara jiran melalui pintu masuk Bukit Kayu Hitam, Kedah, manakala daging kerbau sejuk beku pula dari India melalui Pulau Pinang.

“MAQIS komited membantu Zoo Negara dalam memastikan bekalan makanan haiwan mencukupi selain terus memastikan isu-isu yang membabitkan aspek halal, keselamatan makanan, kawalan penyakit dan risiko kemasukan perosak berbahaya yang boleh mengancam industri pertanian serta penternakan negara dapat dibendung serta dikawal.

“Inisiatif ini juga diharap dapat membantu menampung bekalan makanan haiwan di Zoo Negara,” kata MAQIS dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.