Kertas siasatan Neelofa, suami kini diperingkat akhir-PDRM

18

6 MEI : Polis kini di peringkat akhir menyiapkan semula kertas siasatan selebriti Noor Neelofa Mohd Nor (Neelofa) dan suaminya, Muhammad Haris Mohd Ismail berkaitan merentas negeri.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop, berkata sebelum ini polis sudah menyerahkan kertas siasatan berkenaan kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya Negeri Sembilan semalam, namun dikembalikan semula.

“Kertas siasatan dikembalikan semula kerana ada beberapa perkara yang perlu ditambah baik.

“Kita sedang memperkemas kertas siasatan itu sebelum keputusan selanjutnya dibuat,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis pemakaian pangkat sarjan mejar secara medan kepada Sarjan Mat Shah Kassim, di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan, Seremban, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalannya, Datuk Che Zakaria Othman dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah IPK Negeri Sembilan, Asisten Komisioner Ramlan Abdul Razak.

Neelofa dan suaminya atau PU Riz dipercayai melanggar prosedur operasi standard (SOP) apabila dikatakan merentas negeri dengan mengunjungi premis menjual permaidani di Nilai, dekat sini, pada Ahad lalu.

Gambar selebriti itu dan suaminya tular dalam media sosial.

Pada Selasa lalu, Neelofa dan Muhammad Haris memberi keterangan selama empat jam di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai bagi membantu siasatan berkenaan.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata, pihaknya akan memaklumkan perkembangan lanjut mengenai siasatan berkenaan.

“Kes tak besar pun. Cuma langgar SOP. Namun, perkembangan terbaru nanti kita akan maklumkan kepada pihak media,” katanya.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Fazley Ab Rahman menjelaskan bahawa siasatan terhadap pasangan terbabit dijalankan mengikut Seksyen 21A Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Katanya, mereka juga disiasat mengikut Peraturan 19, Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Kawalan Pergerakan Bersyarat) (No.4) 2021 serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.