IPT Keluarkan Surat Pelajar Pulang Beraya

46

6 MEI: Pelajar, ibu bapa atau penjaga hanya perlu menunjukkan surat berkenaan kepada anggota keselamatan di sekatan jalan raya (SJR) bagi pergerakan pulang pelajar ke kampung halaman masing-masing untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri ini.

Pengarah Bahagian Mahasiswa Holistik Jabatan Pendidikan Tinggi, Dr Mohd Suzeren Md Jamil berkata Institusi Pengajian Tinggi (IPT) akan mengeluarkan surat kebenaran merentas daerah dan negeri kepada pelajar, ibu bapa atau penjaga bagi perkara tersebut.

“Memadai dengan surat kebenaran ini. Pelajar, ibu bapa atau penjaga tidak perlu bersesak-sesak ke balai polis untuk memohon surat kebenaran bagi tujuan pergerakan pulang ke kampung dan balik ke kampus semula,” katanya kepada media, hari ini. 

Terdahulu, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) sebelum ini mengumumkan lebih 100,000 pelajar IPT yang kini berada di kampus dibenarkan pulang ke rumah masing-masing bersempena cuti Hari Raya Aidilfitri kecuali Sarawak.

Pergerakan pelajar secara berfasa itu ditetapkan dari 7 hingga 12 Mei dari kampus ke kediaman masing-masing manakala tarikh kembali ke kampus bermula 15 hingga 20 Mei.

Hanya pelajar yang berada di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), PKP Bersyarat (PKPB) dan PKP Pemulihan (PKPP) sahaja dibenarkan pulang, manakala mereka yang berada di bawah PKP Diperketatkan (PKPD) perlu terus berada di kawasan masing-masing.

Dalam pada itu, Mohd Suzeren memaklumkan setakat ini pelajar tidak dibenarkan menggunakan kenderaan awam untuk pergerakan pulang dan hanya dibenarkan dengan kenderaan sendiri, kenderaan ibu bapa, kenderaan yang diatur oleh IPT atau penerbangan sahaja.

Beliau berkata, pelajar yang sedang menjalani latihan industri (praktikal) juga dibenarkan pulang mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang sama kerana mereka dikategorikan sebagai pelajar yang sedang menyambung pengajian di kampus.

“Bagi pergerakan pulang pelajar ke kampus masing-masing, pelajar yang datang dari kawasan PKP akan menjalani pengasingan di kampus atau di kediaman masing-masing sebelum dibenarkan memulakan sesi pembelajaran.

“Kecuali bagi pelajar ke Sabah, mereka perlu mengikuti SOP semasa iaitu menjalani ujian calitan tiga hari sebelum penerbangan ke sana. 

“Saya turut berharap agar pelajar menggunakan peluang untuk beraya bersama keluarga sebaiknya dengan mematuhi SOP hari raya seperti yang ditetapkan kerajaan,” katanya

Get real time updates directly on you device, subscribe now.