GERAKAN terima layanan lebih adil bersama PN

766

6 MEI: Parti Gerakan Malaysia (GERAKAN) mengakui menerima layanan lebih adil dan saksama  sebagai rakan kongsi politik di dalam Parti Perikatan Nasional (PN).

Presidennya, Datuk Dominic Lau Hoe Chai berkata, budaya seumpama itu tidak wujud semasa GERAKAN menganggotai Barisan Nasional (BN) sebelum ini.

Beliau mengakui PN yang dipimpin oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin melayan parti komponennya sebagai rakan kongsi sama rata dan diberi peluang meluahkan pendapat.

“Dalam suasana mesyuarat Kepimpinan PN peringkat Pusat baru-baru ini, semua suara parti komponen dalam PN didengari sepenuhnya yang mana kami diberi ruang seluas-luasnya untuk meluahkan pandangan serta cadangan untuk membantu mendekati dan menangani permasalahan rakyat dan PN.

“Inilah perbezaan yang sangat unikdan wujud dalam PN di bawah kepimpinan Perdana Menteri kita, tetapi di dalam BN dulu ia kuranglah,” katanya kepada media selepas majlis Berbuka Puasa Gerakan Bersama Media dis sebuah hotel di Petaling Jaya, Selangor, malam tadi. 

Dalam pada itu, Dominic memberitahu partinya juga diberi kebebasan mengemukakan permohonan untuk bertanding mana-mana kerusi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) tanpa terikat dengan sistem kuota atau pengagihan kerusi secara tradisional.

Beliau turut mengesahkan rundingan kerusi antara parti komponen dalam PN berlangsung secara terbuka dan telus tanpa terikat dengan penetapan kuota tertentu kepada sesebuah parti walaupun GERAKAN merupakan gabungan baharu dalam PN. 

“Kita sekarang dalam norma baharu kehidupan sejak tahun lalu selepas COVID-19 melanda negara yang mana geopolitik semasa menyaksikan kita tiada kerusi tradisional lagi seperti yang berlaku dahulu bersama BN (ada pengagihan kerusi tradisi) yang mana GERAKAN bertanding 12 kerusi Parlimen dan 33 kerusi negeri.

“Sekarang ini pengagihan kerusi tidak lagi bersandarkan kepada konsep tradisional lagi kerana dalam PN siapa-siapa parti yang mempunyai potensi peratusan menang yang tinggi di sesebuah kawasan itu, maka dia akan jadi calon untuk menangkan PN.

“Inilah norma baharu politik yang kita lima komponen PN telah setuju, asalkan nak menang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 akan datang,” katanya.

Sementara itu, ditanya mengenai kerjasama dengan PAS selepas bersemuka sebagai rakan seanggota dalam PN berbanding sebelum ini GERAKAN pernah memfailkan semakan kehakiman tulisan Jawi yang ditekankan PAS, Dominic berkata, hubungan GERAKAN dengan parti Islam itu lebih baik dan positif dalam PN.

“Kalau lihat penerimaan kerjasama Pas dengan GERAKAN dalam PN, kita lebih faham tentang agama Islam, dan kami juga memerlukan lebih banyak pertemuan bersama PAS untuk membolehkan saling memahami antara satu sama lain demi kebaikan bersama dan kemakmuran rakyat.

“Malah kelebihan gabungan PN adalah ia tidak ada rekod kesalahan rasuah berbanding gabungan BN dan Pakatan Harapan (PH).

“Kita ada rekod, uruskan Pulau Pinang selama 39 tahun dengan bersih, tiada kes mahkamah, tetapi 13 tahun DAP memerintah di Pulau Pinang sudah bersangkut dengan beberapa kes mahkamah dan begitu juga PH dan BN masing-masing mempunyai kes di mahkmah,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.