Agong ucap tahniah kejayaan Pandelela raih pingat emas

21

6 MEI: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, menzahirkan ucapan tahniah kepada penerjun negara, Pandelela Rinong atas kejayaan atlet meraih pingat emas dalam acara 10 meter platform individu wanita pada Kejohanan Piala Dunia Terjun FINA di Jepun, semalam.

Menurut kenyataan Istana Negara, Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan rasa sukacita dan bangga atas kejayaan Pandelela meraih pingat emas pertama buat skuad negara di kejohanan itu, sekali gus melakar sejarah baharu buat pasukan terjun kebangsaan dan mengharumkan nama Malaysia di persada dunia.

“Seri Paduka Baginda menyifatkan pencapaian Pandelela ini sebagai kejayaan amat bermakna kepada Malaysia dan suntikan semangat kepada beliau untuk meneruskan buruan pingat di Temasya Sukan Olimpik Tokyo, Julai ini,” menurut kenyataan itu yang dimuat naik di Facebook Istana Negara, hari ini.

Yang di-Pertuan Agong bertitah, pencapaian cemerlang penerjun kebangsaan kelahiran Sarawak itu membuktikan bahawa Malaysia terus mampu melahirkan atlet dan individu yang berkualiti, berkaliber serta bertaraf antarabangsa.

“Ini juga membuktikan bahawa dengan iltizam, semangat perjuangan tinggi dan usaha bersungguh-sungguh, rakyat Malaysia mampu bersaing serta berjaya di peringkat dunia,” kata kenyataan itu.

Selain itu, Al-Sultan Abdullah menzahirkan harapan semoga kejayaan dan semangat perjuangan Pandelela menjadi sumber inspirasi kepada seluruh rakyat Malaysia, khususnya para atlet di negara ini untuk bekerja keras serta berusaha mencapai kejayaan dalam bidang masing-masing, sama ada di peringkat negara atau persada antarabangsa.

“Baginda menzahirkan ucapan selamat maju jaya kepada Pandelela dan mendoakan semoga beliau dilimpahi kejayaan cemerlang berterusan serta sekali lagi memahat sejarah, malah mengharumkan nama negara di Temasya Sukan Olimpik Tokyo, Julai ini,” menurut kenyataan itu.

Pandelela, 28, mempamerkan terjunan bertenaga dan meyakinkan untuk mengungguli final yang berlangsung di Pusat Akuatik Tokyo, Jepun dengan mengumpul 355.70 mata selepas melengkapkan tujuh terjunan.

Dia mengatasi penerjun tuan rumah, Matsuri Arai (342.00 mata) dan Caeli McKay dari Kanada (338.55 mata) yang masing-masing berada di tempat kedua serta ketiga.

Kejayaan meraih pingat emas itu menjadikan Pandelela satu-satunya atlet menyumbang pingat buat pasukan terjun negara yang menggalas cabaran ke Piala Dunia kali ini.

Pandelela dan atlet pasukannya, Leong Mun Yee, Wendy Ng Yan Yee, Nur Dhabitah Sabri dan Cheong Jun Hoong bakal menggalas cabaran negara dalam acara terjun di temasya Sukan Olimpik Tokyo yang dijadualkan pada 23 Julai hingga 8 Ogos ini.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.