RM500 untuk 11,000 peniaga bazar Ramadan di Selangor

125

5 Mei: Sebanyak 11,000 peniaga bazar Ramadan di enam daerah di Selangor bakal menerima bantuan RM500 akibat tidak dibenarkan beroperasi mulai Sabtu ini ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari menjangkakan bantuan khas berkenaan akan disalurkan selepas Aidilfitri dengan peruntukan sebanyak RM5 juta.

“Menyedari tentang masalah yang melanda penjaja bazar Ramadan, 11,000 penjaja bazar Ramadan terjejas, kerajaan  akan membantu mereka melalui bantuan RM500 menjelang selepas 1 Syawal demi membantu kesusahan akibat penutupan,” katanya.

Beliau menyatakan demikian pada sidang media khas susulan PKP di enam daerah di negeri itu di Shah Alam, hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, Kerajaan Negeri tidak bercadang mengumumkan Pakej Rangsangan, sebaliknya keperluan berkenaan akan dipertimbangkan berdasarkan tempoh pelaksanaan PKP di enam daerah Selangor.

Semalam, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Majlis Keselamatan Negara (MKN) bersetuju enam daerah, Hulu Langat, Petaling, Gombak, Klang, Kuala Langat dan Sepang, dilaksanakan PKP.

Katanya, tiga lagi daerah iaitu Kuala Selangor, Sabak Bernam dan Hulu Selangor masih di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Get real time updates directly on you device, subscribe now.