PKP seluruh Kuala Lumpur mulai lusa

104

5 MEI: Selepas Selangor berdepan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Kuala Lumpur mengalami ‘nasib sama’ apabila dikenakan arahan itu selama dua minggu mulai Jumaat ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata keputusan itu dibuat selepas meneliti pembentangan dan cadangan daripada Kementerian Kesihatan (KKM).

Katanya, prosedur operasi standard (SOP) bagi PKP Kuala Lumpur adalah sama seperti diumumkan sebelum ini, termasuk pergerakan rentas negeri tidak dibenarkan, kecuali atas urusan kerja dan kecemasan.

“Sejak 1 April sehingga 27 April 2021, KKM mengesahkan sebanyak 17 kluster baharu direkodkan di seluruh Kuala Lumpur dengan jumlah kes harian semakin meningkat.

“Selepas meneliti pembentangan serta cadangan KKM, kerajaan bersetuju melaksanakan PKP di seluruh Kuala Lumpur bermula 7 Mei sehingga 20 Mei 2021,” katanya dalam kenyataan berhubung perkembangan PKP, Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), hari ini.

Ismail Sabri berkata, premis makanan seperti restoran, kenderaan saji, penjaja dan kiosk dibenarkan beroperasi dari jam 6 pagi sehingga 12 tengah malam sahaja, manakala makan di restoran tidak dibenarkan. 

Kedai runcit, kedai serbaneka, kedai keperluan harian, farmasi dan stesen minyak, katanya, dibenarkan menjalankan perniagaan dari jam 6 pagi sehingga 10 malam, namun stesen minyak di lebuh raya tiada halangan beroperasi selama 24 jam.

Jelasnya, hospital, klinik dan makmal perubatan boleh berurusan seperti biasa, manakala pasar harian, pasar tani, pasar awam dan pasar minggu pula dibenarkan beroperasi dari jam 6 pagi hingga 2 petang.

“Bazar Ramadan di kawasan PKP dibenarkan beroperasi mengikut SOP ketat, tetapi keputusan untuk meneruskan atau menutup perniagaan terbabit adalah tertakluk di bawah kuasa kerajaan negeri melalui Pihak Berkuasa Tempatan (PBT),” katanya.

“SOP penuh berhubung PKP bagi seluruh Kuala Lumpur boleh diakses menerusi laman sesawang Majlis Keselamatan Negara (MKN) di www.mkn.gov.my,” katanya. – Oleh FAIZATUL FARHANA FARUSH KHAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.