Netanyahu gagal bentuk kerajaan Israel

42

5 MEI – Perdana Menteri sementara, Benjamin Netanyahu gagal untuk membentuk kerajaan hari ini selepas gagal memperoleh sokongan daripada parti-parti politik yang berjaya memenangi kerusi dalam pilihan raya umum pada 23 Mac lalu.

Parti Likud pimpinannya memenangi 30 kerusi iaitu paling banyak di Parlimen tetapi gagal mendapat majoriti 61 kerusi bagi membentuk sebuah kerajaan di negara itu.

Netanyahu, 71, sebelum ini diberikan masa selama 28 hari bagi membentuk sebuah kerajaan campuran.

Presiden Israel, Reuven Rivlin turut memberikan tempoh sehingga tengah malam ini untuk beliau mendapatkan majoriti dengan memperoleh sokongan daripada parti-parti politik yang menang di Parlimen.

Menurut laporan AFP, pejabat Rivlin berkata, dalam satu kenyataan bahawa Netanyahu memberitahu bahawa beliau tidak dapat membentuk sebuah kerajaan dan menyerahkan semula mandat kepada Presiden Israel untuk menentukan pelantikan seorang Perdana Menteri yang baharu.

Pada 5 April lalu, 120 ahli Parlimen yang turut dikenali sebagai Knesset mengangkat sumpah dengan Netanyahu memperoleh 52 pencalonan sebagai Perdana Menteri, Ketua Parti Yeish Atid iaitu Yair Lapid mendapat 45 pencalonan manakala Naftali Bennet daripada parti Yemina memperoleh tujuh pencalonan.

Jumlah pencalonan yang diterima Netanyahu itu masih tidak mencukupi untuknya membentuk sebuah kerajaan campuran dengan mendapatkan majoriti di Parlimen.

Dalam pada itu, Presiden Israel tersebut berkata, beliau akan menghubungi para pemimpin politik bagi membincangkan pembentukan sebuah kerajaan.

Menurut AFP, beliau boleh memberikan tempoh 28 hari kepada Lapid yang mempunyai peluang cerah untuk menjadi Perdana Menteri baharu selepas partinya menduduki tempat kedua dalam pilihan raya umum Israel.

Pilihan raya itu diadakan buat kali keempat dalam tempoh kurang dua tahun selepas kerajaan campuran pimpinan Netanyahu runtuh pada hubung tahun lalu apabila beliau gagal untuk mendapatkan kelulusan di Parlimen berhubung bajet negara tersebut.

Netanyahu menjadi Perdana Menteri dari tahun 1996 hingga 1999 dan sekali lagi pada tahun 2009 sehingga kini apabila beliau memegang jawatan itu buat sementara waktu.

Dalam pada itu, beliau turut dibicarakan berhubung dakwaan rasuah tetapi beliau menafikan melakukan perbuatan itu.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.