Kerajaan tubuh MTKB tentukan dasar, strategi pembangunan negara

20

5 MEI: Kerajaan menubuhkan Majlis Tindakan Kemakmuran Bersama (MTKB) yang berperanan menentukan dasar dan strategi pelaksanaan Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030.

Menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri, penubuhan MTKB yang dipengerusikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berperanan  termasuk menetapkan sasaran, indikator makro dan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) bagi sektor penting dalam pembangunan negara.

“Semua ini akan dirangka secara inklusif dan menyeluruh bagi mencapai objektif WKB 2030,” menurut kenyataan itu, hari ini.

Katanya, keahlian MTKB terdiri daripada 21 orang Menteri, empat ketua jabatan, dua ketua syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC), tiga wakil dewan perniagaan Melayu, Cina dan India, selain tokoh dalam pelbagai sektor ekonomi, pendidikan serta sosial.

“Antara tokoh itu adalah Tan Sri Sulaiman Mahboob, Tan Sri Azman Mokhtar, Datin Paduka Dr Aini Ideris, Datuk Dr Asma Ismail, Datuk Dr Madeline Berma dan Prof Datuk Dr Denison Jayasooria,” katanya.

Selain itu, Jawatankusa Eksekutif Kemakmuran Bersama (JEKB) diwujudkan yang dipengerusikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof. – Oleh FAIZATUL FARHANA FARUSH KHAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.