Kerajaan akan buka lebih banyak PPV mega urus vaksinasi COVID

102

5 MEI: Kerajaan akan membuka lebih banyak Pusat Pemberian Vaksin (PPV) mega dan boleh menguruskan lebih 2,000 janji temu penerima suntikan vaksinasi COVID-19 setiap hari.

Pembukaan itu adalah bagi fasa ketiga Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

Menteri Penyelaras PICK, Khairy Jamaluddin, berkata PPV mega pertama adalah di Pusat Dagangan Dunia (WTC) yang dibuka hari ini untuk pemberian vaksin AstraZeneca dan mampu menampung 2,468 janji temu sehari.

“Kita ada perancangan untuk buka lebih banyak PPV mega apabila dos vaksin seterusnya datang selepas ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas meninjau hari pertama pemberian vaksin COVID-19 AstraZeneca di PPV WTC, hari ini.

PPV itu adalah antara empat PPV yang beroperasi mulai hari ini bagi memberi suntikan vaksin AstraZeneca kepada rakyat dan penduduk Malaysia.

Tiga PPV lain, adalah PPV Pusat Konvensyen Ideal Shah Alam (IDCC); PPV Dewan 1, Bangunan Peperiksaan Universiti Malaya (UM) dan PPV Dewan Gemilang, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Get real time updates directly on you device, subscribe now.