SPR tangguh PRK DUN Melor

33

4 MEI: Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Melor, Kelantan, yang sepatutnya diadakan dalam tempoh 60 hari selepas kematian penyandangnya, Dr Md Yusnan Yusof, ditangguhkan.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR), Datuk Ikmalrudin Ishak, berkata penangguhan itu selaras dengan

Proklamasi Darurat dikeluarkan Yang di-Pertuan Agong pada 11 Januari 2021.

“Ia selaras dan peruntukan Seksyen 13 Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 berkaitan Pilihan Raya DUN yang sedang berkuat kuasa,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Kerusi DUN Melor kosong selepas Md Yusnan, 53, meninggal dunia di kediamannya di Melor selepas mengalami serangan jantung pada 30 April lalu.

Ikmalrudin berkata, pihaknya sudah menerima pemakluman rasmi daripada Speaker Dewan Negeri Kelantan, Datuk

Abdullah Yakub, semalam, berhubung dengan kekosongan luar jangka kerusi DUN berkenaan.

Beliau berkata, selaras dengan Perkara 46(5) Bahagian Pertama Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan, memperuntukkan kekosongan sesuatu kerusi Dewan Negeri Kelantan perlu diisi dalam tempoh 60 hari dari tarikh kekosongan kerusi itu.

“Bagaimanapun, PRK di DUN Melor ditangguhkan susulan Proklamasi Darurat dan Seksyen 13 Ordinan Darurat.

“SPR mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Md dan semoga keluarga Allahyarham tabah menghadapi kehilangan orang yang tersayang,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.