NADMA Luluskan RM17 Juta Bantu Individu Terjejas Akibat COVID-19

1,498

4 MEI: Seramai 12,800 individu yang hilang pendapatan kerana menjalani kuarantin COVID-19, sudah diluluskan untuk menerima bantuan kewangan khas membabitkan peruntukan berjumlah RM17,409,500, setakat semalam.

Bantuan itu disalurkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) di bawah program Bantuan Khas COVID-19.

Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian Pembangunan Komuniti dan Sosial NADMA, Mohd Faizal Ab Hamid, berkata jumlah penerima itu membabitkan pemohonan yang diluluskan daripada 27,697 permohonan diterima agensi berkenaan.

“NADMA menyalurkan bantuan RM100 sehari kepada setiap individu akibat kehilangan pendapatan kerana diperintah kuarantin.

“Pemberian Bantuan Khas COVID-19 dikhususkan kepada warganegara Malaysia yang bekerja di negara ini, tetapi kehilangan sumber pendapatan atau tidak dibayar gaji sepanjang tempoh dikenakan Perintah Pengawasan dan Pemerhatian Bagi Kontak Covid-19 Di Bawah Seksyen 15(1) Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

“Bantuan ini turut membabitkan warganegara Malaysia yang bekerja,tetapi kehilangan sumber pendapatan atau tidak dibayar gaji sepanjang tempoh menjalani rawatan di wad hospital (dimasukkan ke wad) ekoran COVID-19,” katanya ketika dihubungi Portal PN BBC.

Mohd Faizal berkata, NADMA turut menyediakan Bantuan Khas Pengurusan Kematian COVID-19 berjumlah RM5,000 kepada waris setiap pesakit dalam kalangan warganegara Malaysia yang meninggal dunia disebabkan jangkitan virus COVID-19, sama ada kematian akibat COVID-19 atau kematian dengan COVID-19.

Beliau berkata, sehingga semalam, seramai 409 waris pesakit itu sudah dibayar bantuan berkenaan, membabitkan kewangan berjumlah RM2,055,000.

Jelasnya, mana-mana individu boleh membuat permohonan untuk kedua-dua jenis bantuan itu mengikut syarat digariskan dan tiada kuota penerima ditetapkan, selagi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tidak tamat atau kerajaan mengumumkan keputusan lain,” katanya.

Mengulas lanjut, Mohd Faizal berkata, selain NADMA, beberapa agensi persekutuan dan negeri turut menawarkan pelbagai bantuan berkaitan COVID-19.

Agensi ini, katanya, termasuk Kementerian Kewangan yang menyaksikan penggantian pendapatan skim mySalam COVID-19:MOF dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) melalui program iSinar, iaitu pengeluaran 10 peratus daripada Akaun 1 dengan jumlah maksima RM9,000 dan RM60,000.

“Bantuan agensi lain, antaranya kewangan berjumlah RM1,000 kepada individu positif COVID-19 dan RM500 bagi golongan B40, sementara RM300 Bantuan Tunai Prihatin Sabah diberikan kerajaan Sabah, RM500 secara ‘one-off’ diterima penjawat awam (Kelantan) serta RM300 kepada individu yang layak (Kedah),” katanya.

Bagi mereka yang ingin mengetahui garis panduan, syarat permohonan atau memohon Bantuan Khas COVID-19 dan Bantuan Khas Pengurusan Kematian COVID-19, boleh melayari http://www.nadma.gov.my. – Oleh FAIZATUL FARHANA FARUSH KHAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.