Dakwaan Hamid Hanya Bersifat Polemik, Kontroversi

39

4 MEI : Dakwaan Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador terhadap terdapat penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan yang membabitkan rasuah di kalangan ahli politik tertentu hanyalah satu kenyataan kontroversi selagi belum ada tindakan yang diambil. 

Penganalisis politik, Dr Mohd Irwan Syazli Saidin berkata, ini kerana masih tiada maklumat yang jelas dan tepat berkenaan individu atau ahli politik yang didakwa oleh Abdul Hamid melakukan penyalahgunaan kuasa.

“Berdasarkan pemerhatian saya, memang ada kebenaran tetapi pelaku atau mereka yang disabitkan di bawah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) belum ada lagi.

“Jadi, kita tak boleh bagi lagi kata putus yang memang itu berlaku. Ini lebih kepada kontroversi atau polemik dan masih belum ada maklum balas dari mana mana menteri atau ahli politik yang dituju oleh Tan Sri Abdul Hamid. 

“Ini hanya dakwaan, kita pun tak tahu siapa dan kita tak boleh nak ikut rumors di media-media sosial kerana masih tiada bukti untuk kita percaya bahawa benda itu ada berlaku,” katanya ketika dihubungi PN BBC Portal, hari ini. 

Semalam, Abdul Hamid dipercayai akan melakukan pendedahan berhubung dakwaan salah guna kuasa seorang tokoh berjawatan penting dan dipercayai berpangkat ‘Datuk Seri’.

Beliau mendakwa, individu tersebut dipercayai menyalahgunakan kuasa dengan menggunakan salah satu cabang institusi kepolisan negara dipercayai Cawangan Khas (Special Branch) bagi tujuan politik.

Dalam pada itu, Irwan yang juga merupakan Pensyarah Pusat Kajian Sejarah, Politik dan Hal Ehwal Antarabangsa (Sphea), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) memberitahu SPRM perlu melakukan pertemuan bersama Abdul Hamid bagi menyiasat dengan teliti individu yang dikaitkan oleh bekas Ketua Polis Negara itu. 

“Memang seharusnya SPRM melakukan perbincangan dengan Abdul Hamid, duduk bersama supaya beliau boleh secara terus nyatakan individu yang dikaitkan menerusi sidang media bersama wartawan. 

“Kita sebagai rakyat nak tahu…kita tahu mahu dah dengar kontroversi ataupun polemik walaupun yang tular itu memfokuskan kepada Menteri Dalam Negeri.

“Kalau buat salah, mesti ambil tindakan oleh SPRM kerana tiada kompromi jika ada salah laku dilakukan,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH. 

Get real time updates directly on you device, subscribe now.