23 Maut Jambatan Kereta Api Metro Runtuh di Mexico City

62

4 MEI: Sekurang-kurangnya 23 maut manakala 70 lagi cedera selepas sebuah landasan bertingkat runtuh di Mexico City.

Kejadian itu berlaku pada pukul 10.30 malam, (waktu tempatan) berhampiran stesen Los Olivos metro menyebabkan sebuah gerabak terjunam ke jalan raya dipenuhi orang ramai.

Datuk Bandar, Claudia Sheinbaum, berkata 34 mangsa yang cedera dirawat di hospital manakala beberapa penumpang masih terperangkap di dalam gerabak kereta api yang tergantung dan terputus dua.

Video menunjukkan kereta terperangkap di bawah runtuhan dengan puluhan penyelamat mencari melalui runtuhan struktur di jajaran sepanjang kira-kira lima meter di atas jalan di selatan Mexico City.

“Rasuk sokongan itu runtuh dan kita tidak tahu sama ada penumpang yang terperangkap masih hidup atau tidak.

“Usaha menyelamat tergendala seketika tengah malam tadi kerana kereta api yang ‘tergantung’ itu berada dalam keadaan amat berbahaya tanpa sokongan lain dan kren perlu digunakan.

“Tidak jelas sama ada kebanyakan mangsa yang maut adalah penumpang, pejalan kaki atau pemandu kenderaan,” kata Sheinbaum, yang menjelaskan runtuhan berlaku ketika kereta api sedang melintasi landasan berkenaan.

Ratusan polis dan bomba mengepung tempat kejadian di wilayah selatan Tlahuac, ketika rakan dan waris penumpang yang dipercayai menaiki kereta api itu berkumpul di luar kawasan terbabit.

Ini adalah tragedi terburuk dialami sistem kereta api Mexico City metro sejak ia mula beroperasi pada 1969.

Sistem kereta api bawah tanah Mexico City mempunyai rangkaian 12 landasan dan membawa jutaan penumpang setiap hari.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.