Pangkalan udara tentera AS di Iraq berjaya pintas dua serangan roket

29

3 MEI : Pangkalan udara yang menempatkan gabungan tentera diketuai Amerika Syarikat (AS) di Baghdad, Iraq, berjaya memintas dua roket yang dilancarkan terhadap pangkalan udara tersebut semalam.

Tentera Iraq memaklumkan, satu daripada pelancar itu berjaya dipintas pencegah roket C-RAM, iaitu sistem artileri dan mortar yang bermatlamat melindungi tentera AS di Iraq.

Serangan itu adalah yang kedua seumpamanya dalam tempoh 10 hari dan setakat ini, belum ada pihak mengaku bertanggungjawab terhadap serangan itu, yang tidak menyebabkan sebarang kematian, kata pihak tentera.

Minggu lalu, tiga roket menyerang satu sektor di pangkalan udara Baghdad yang menempatkan tentera Iraq, menyebabkan seorang anggota tentera cedera.

Setakat ini, semenjak Joe Biden menjadi presiden AS Januari lalu, sudah berlaku hampir 30 serangan roket dan bom terhadap beberapa kepentingan AS di Iraq yang telah mengorbankan beberapa kotraktor asing dan rakyat Iraq.

Washington kerap menuding jari terhadap puak yang dikaitkan dengan Iran sebagai dalang beberapa serangan seumpamanya yang menyasarkan tentera dan diplomat Amerika Syarikat (AS).

Kumpulan pro-Iran berikrar untuk meningkatkan serangan bagi memaksa saki-baki tentera AS keluar sejak beberapa bulan lalu, termasuk ada kalanya bertentangan dengan hasrat Teheran, kata beberapa pakar.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.